PENA WANITA

BENDUNG ANCAMAN TERHADAP KANAK-KANAK

08/09/2025 02:43 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Prof Madya Dr Haliza Abdul Rahman

Keganasan terhadap kanak-kanak merupakan salah satu isu sosial paling menyayat hati yang semakin mendapat perhatian masyarakat global termasuk di Malaysia.

Dalam sebuah negara yang mendakwa mementingkan pembangunan insan dan kesejahteraan sosial, angka penderaan kanak-kanak yang terus meningkat saban tahun menimbulkan persoalan besar, apakah kita benar-benar melindungi generasi masa depan?

Hakikatnya, dalam dunia yang kononnya semakin moden dan maju, masih wujud ruang-ruang gelap yang memperlihatkan sisi kejam manusia terhadap golongan paling lemah dan tidak berdaya iaitu kanak-kanak.

Golongan ini sepatutnya dibelai dengan kasih sayang, dilindungi dengan keselamatan dan dibesarkan dalam suasana penuh empati. Namun, realitinya jauh berbeza.

Dalam diam, ribuan kanak-kanak menjadi mangsa penderaan fizikal, seksual, emosi serta pengabaian setiap tahun.

Isu ini bukan sekadar satu bentuk jenayah, malah satu pengkhianatan terhadap nilai kemanusiaan kerana ia mencerminkan kegagalan institusi keluarga, masyarakat dan negara dalam melindungi generasi masa depan.

Peningkatan Kes Membimbangkan

Menurut laporan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sebanyak 6,144 kes penderaan kanak-kanak telah direkodkan di Malaysia pada tahun 2023, meningkat berbanding 5,348 kes pada tahun sebelumnya.

Ini bermakna, secara purata, terdapat kira-kira 17 kes penderaan kanak-kanak dilaporkan setiap hari. Daripada jumlah itu, penderaan fizikal menduduki tangga teratas, diikuti penderaan seksual dan emosi.

Statistik ini hanyalah ‘puncak gunung ais’ kerana banyak lagi kes yang tidak dilaporkan atas pelbagai faktor seperti ketakutan, rasa malu, atau tidak mengetahui saluran aduan.

Situasi ini amat membimbangkan kerana ia menunjukkan bahawa keganasan terhadap kanak-kanak bukan sahaja berlaku secara meluas, tetapi juga berakar dalam sistem sosial kita yang longgar dari segi perlindungan.

Peningkatan ini bukan sahaja membimbangkan, malah membuktikan bahawa masih ba

Keganasan terhadap kanak-kanak tidak semestinya berlaku dalam bentuk fizikal atau seksual semata-mata.

Penderaan emosi seperti dimaki, dihina, diugut atau diabaikan juga memberi kesan jangka panjang yang parah.

Kajian UNICEF Malaysia (2022) menunjukkan bahawa hampir 30% kanak-kanak di Malaysia mengaku pernah mengalami penderaan emosi, kebanyakannya berlaku di rumah.

Kesan Sepanjang Hayat

Mereka membesar dalam suasana ketakutan, rasa tidak disayangi dan hilang keyakinan diri akibat penghinaan dan kekosongan kasih sayang, satu permulaan hidup yang jauh dari ideal.

Penderaan jenis ini jarang meninggalkan kesan luaran yang boleh dilihat, namun ‘luka’ di dalam hati dan minda mereka lebih dalam dan sukar disembuhkan.

Menurut pakar psikologi kanak-kanak, kesan penderaan bukan sahaja menjejaskan perkembangan emosi dan sosial, malah ia menjadi benih kepada pelbagai masalah lain apabila mereka meningkat remaja seperti kemurungan, kegagalan akademik, dan kecenderungan kepada jenayah atau penyalahgunaan dadah.

Dalam erti kata lain, setiap kanak-kanak yang gagal dilindungi hari ini berpotensi menjadi masalah sosial pada masa hadapan. Punca berlakunya keganasan terhadap kanak-kanak sangat kompleks dan pelbagai.

Antaranya ialah tekanan hidup seperti kemiskinan, masalah kewangan, masalah rumah tangga seperti penceraian, ketagihan alkohol atau dadah serta masalah kesihatan mental ibu bapa atau penjaga.

Kejahilan tentang kaedah keibubapaan menyebabkan sesetengah ibu bapa masih percaya bahawa mendidik dengan kekerasan adalah cara terbaik untuk mendisiplinkan anak.

Di samping itu, norma budaya dan sikap masyarakat yang lebih suka ‘tidak masuk campur urusan orang lain’ di samping kehadiran budaya ‘tutup mata’ dalam masyarakat menyebabkan banyak kes penderaan berterusan tanpa halangan.

Malah, dalam sesetengah komuniti, penderaan dianggap sebagai ‘perkara biasa’ yang tidak perlu dibesar-besarkan.

Dalam banyak kes, jiran atau ahli keluarga sebenarnya mengetahui penderaan berlaku, tetapi memilih untuk tidak campur tangan atas alasan "itu hal keluarga orang lain"

Perlu Pendekatan Holistik

Untuk menangani masalah ini, pendekatan holistik dan menyeluruh diperlukan. Paling utama, sistem undang-undang perlu diperkasa.

Akta Kanak-Kanak 2001 perlu dikaji semula agar hukuman terhadap pelaku keganasan lebih berat dan memberi kesan jangka panjang.

Selanjutnya, pendidikan mengenai hak kanak-kanak dan keibubapaan perlu diperluas, termasuk di sekolah dan komuniti.

Masyarakat perlu dididik bahawa memukul, menjerit, atau mengugut anak bukanlah satu bentuk ‘mendidik’, tetapi satu bentuk penderaan.

Selain itu, saluran pelaporan perlu dipermudah dan diperluas. Contohnya, penubuhan talian khas seperti Talian Kasih 15999 harus dipromosikan secara meluas agar kanak-kanak tahu ke mana harus mengadu.

Malah, kerjasama antara agensi kerajaan, NGO, sekolah dan masyarakat perlu diperkukuh untuk membentuk rangkaian perlindungan yang cekap.

Untuk menangani masalah ini, pendekatan menyeluruh perlu dilaksanakan. Pendidikan mengenai hak kanak-kanak perlu diperkasakan bukan hanya kepada ibu bapa, tetapi juga kepada kanak-kanak itu sendiri.

Sistem pendidikan perlu memasukkan modul hak kanak-kanak, pengurusan emosi dan keselamatan diri.

Malah, kempen kesedaran secara besar-besaran melalui media arus perdana dan media sosial mesti digerakkan secara konsisten dan berterusan, bukan hanya apabila berlaku kes berprofil tinggi.

Selain itu, peranan media juga penting. Media harus memainkan fungsi mendidik masyarakat melalui laporan yang beretika dan tidak sensasi.

Ini bermakna daripada hanya melaporkan kes, media boleh berperanan sebagai agen perubahan sosial melalui laporan berbentuk pencegahan, pendidikan dan advokasi.

Cerita mangsa penderaan tidak seharusnya hanya menjadi tajuk sensasi semata-mata, tetapi perlu diiringi dengan penyelesaian dan tekanan terhadap pihak berwajib.

Penyebaran maklumat yang tepat dan menyentuh emosi juga mampu membangkitkan kesedaran awam.

Sebagai contoh, dokumentari pendek, drama televisyen, dan kempen media sosial boleh digunakan untuk menyebarkan mesej anti-keganasan terhadap kanak-kanak dengan lebih berkesan.

Dalam dunia digital hari ini, media berpengaruh besar dalam membentuk pandangan dan sikap masyarakat, justeru peranannya tidak boleh dipandang ringan.

Akhir sekali, ibu bapa dan penjaga harus sedar bahawa membesarkan anak bukan hanya tanggungjawab fizikal, tetapi juga emosi dan rohani.

Anak bukanlah milik mutlak ibu bapa untuk diperlakukan sesuka hati. Mereka adalah amanah Tuhan dan bakal pewaris negara. Jika hari ini kita gagal melindungi mereka, maka kita sedang merosakkan generasi masa depan.

Pepatah Melayu ada mengatakan, "anak ibarat kain putih, ibu bapalah yang mencorakkannya." Jika coraknya penuh luka dan trauma, maka lahirlah masyarakat yang pincang dan hilang nilai kemanusiaan.

Natijahnya keganasan terhadap kanak-kanak bukan isu peribadi atau isu keluarga semata-mata, ia adalah isu kemanusiaan dan tanggungjawab kolektif.

Setiap kanak-kanak yang kita gagal lindungi hari ini adalah cerminan kelemahan kita sebagai masyarakat.

Kesimpulan

Kesimpulannya, keganasan terhadap kanak-kanak adalah isu besar yang tidak boleh dipandang ringan. Ia bukan sahaja mencederakan tubuh kecil mereka, tetapi juga menghancurkan harapan dan masa depan.

Tindakan segera, bersepadu dan berkesan perlu dilaksanakan agar kanak-kanak dapat membesar dalam persekitaran yang sihat, selamat dan penuh kasih sayang.

Sebuah negara yang benar-benar maju bukan diukur melalui pencakar langit atau lebuh raya canggih, tetapi melalui bagaimana ia menjaga dan melindungi anak-anaknya.

Sudah tiba masanya kita hentikan luka yang tak terlihat ini. Setiap suara, setiap tindakan, dan setiap pilihan kita hari ini menentukan sama ada kanak-kanak Malaysia akan membesar dalam pelukan kasih atau terus terperangkap dalam bayang-bayang pengabaian serta penderaan yang gelap dan sunyi.

--BERNAMA

Prof Madya Dr Haliza Abdul Rahman ialah Ketua Laboratori Belia Dalam Kepimpinan, Politik dan Kewarganegaraan Institut Pengajian Sains Sosial, Universiti Putra Malaysia

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)