TINTA MINDA

JANJI UM: MENGUTAMA IMPIAN MALAYSIA, MEMPERKASA BERSAMA BAKAT GLOBAL

22/09/2025 04:07 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Prof Datuk Seri Ir Dr Noor Azuan Abu Osman

Perdebatan terkini mengenai keadilan penempatan universiti dan hala tuju akses kepada pendidikan tinggi berkualiti telah mendominasi perbincangan strategik tentang pendekatan terbaik bagi pengiktirafan bakat serta kaedah yang tepat dalam memastikan modal insan tempatan sentiasa dihargai dan diiktiraf, sambil memajukan pengiktirafan bakat global secara selari.

Ini membawa kepada persoalan dilema bagi pendidikan tinggi Malaysia: Bagaimana kita harus menghadapi piawaian global dan persaingan yang sengit; menarik pelajar dan bakat terbaik dari seluruh dunia, tanpa sesekali menyisihkan pelajar tempatan yang cemerlang?

Bakat tempatan sentiasa menjadi aset terbesar kita, dan ini telah terbukti selama berdekad lamanya melalui prestasi konsisten pelajar cemerlang yang berjaya dalam usaha berterusan mereka untuk membentuk masa depan yang cerah untuk mereka dan negara.

Kejayaan dan usaha gigih generasi baharu ini menggambarkan bahawa belia Malaysia mampu mencapai tahap tertinggi dengan dedikasi dan ketabahan mereka, dan bilangan mereka jauh melebihi bilangan tempat yang tersedia dalam program-program tertentu di universiti awam tempatan.

Ini juga adalah bukti kepada bakat besar yang kita miliki di dalam negara, tetapi juga petanda bahawa universiti awam berdepan cabaran dan tekanan kemasukan dengan tawaran terhad. Dalam konteks ini, setiap tawaran dan penolakan dipantau dengan teliti, dan keseimbangan antara meritokrasi, kapasiti, dan peluang menjadi cabaran, terutama dengan keterbatasan ruang dan sumber.

Keseimbangan Strategik dalam Pengantarabangsaan

Malaysia bukanlah satu-satunya negara yang bergelut mencari keseimbangan antara keterangkuman bakat global dengan hak pendidikan tempatan.

Universiti-universiti terkemuka di seluruh dunia bercita-cita ke arah kecemerlangan global, dengan penunjuk prestasi sering diukur melalui kedudukan antarabangsa dan keterlihatan yang lahir daripada penglibatan dengan pemikir dan bakat terbaik merentasi sempadan.

Pada masa yang sama, universiti awam tetap komited dengan mandat untuk berkhidmat kepada rakyat tempatan, menzahirkan keutamaan yang perlu bagi memenuhi tujuan dan objektif kebangsaan.

Di Universiti Malaya, sejak penubuhannya, kita tidak pernah berganjak daripada tanggungjawab nasional ini untuk berkhidmat dan memimpin negara dalam menghasilkan modal insan dan pemimpin, serta dalam memajukan ilmu pengetahuan.

Ini turut ditegaskan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, yang menyatakan bahawa “Universiti awam wujud, pertama sekali, untuk berkhidmat kepada anak-anak Malaysia”, sambil menambah bahawa tiada kompromi terhadap kuota pelajar tempatan walaupun usaha pengantarabangsaan dilaksanakan.

Dasar kerajaan sentiasa menetapkan bahawa pengambilan pelajar antarabangsa tidak menjejaskan kemasukan pelajar tempatan.

Dengan kata lain, setiap pelajar asing yang diterima adalah sebagai tambahan dan pelengkap kepada pengambilan tempatan, bukan mengambil tempat yang sepatutnya dimiliki pelajar Malaysia yang layak.

Kemasukan melalui Unit Pusat Universiti (UPU) adalah khusus untuk rakyat Malaysia, manakala pelajar antarabangsa biasanya diterima melalui saluran antarabangsa berasingan atau melalui kerjasama yang tidak menjejaskan tempat UPU.

Datuk Seri Zambry secara jelas menyatakan bahawa universiti awam “tidak dibenarkan mengurangkan kuota tempatan bagi menampung pelajar asing demi keuntungan”.

Peningkatan kemasukan pelajar antarabangsa banyak tertumpu pada program pascasiswazah, tanpa menjejaskan tempat bersubsidi untuk pelajar tempatan di peringkat prasiswazah.

Pendekatan ini mencerminkan dasar yang turut dilaksanakan di tempat lain.

Sebagai contoh, University of California (UC) menetapkan had ke atas jumlah pelajar antarabangsa di peringkat ijazah pertama dan menegaskan bahawa pelajar asing diterima “hanya sebagai tambahan, dan tidak sekali-kali menggantikan” pelajar tempatan.

Prinsip utama ini jelas: strategi pengantarabangsaan tidak boleh dilaksanakan dengan mengorbankan peluang tempatan. Cabarannya ialah memastikan prinsip ini benar-benar dirasai, disokong oleh data dan proses yang adil.

Strategi Universiti Terkemuka Dunia Menangani Campuran Pelajar

Setiap universiti terkemuka dunia hari ini berdepan mandat berganda: memupuk bakat domestik dan pada masa yang sama mengalu-alukan bakat global, satu realiti yang tidak dapat dinafikan.
Model berbeza dalam mengimbangi keperluan pengantarabangsaan dengan pemeliharaan bakat tempatan menunjukkan cabaran yang sama serta proses mencari penyelesaian yang serupa.

Di National University of Singapore (NUS), universiti antarabangsa terkemuka, 36% daripada jumlah pelajarnya adalah warga asing, kebanyakannya di peringkat pascasiswazah, manakala 65% staf akademiknya adalah antarabangsa.

Dorongan global ini meningkatkan hasil penyelidikan dan reputasi NUS, tetapi tidak mengorbankan keperluan nasional.

Singapura memastikan pelajar tempatan kekal sebagai majoriti di peringkat ijazah pertama, dengan menetapkan had sebanyak 17%. Empat daripada lima pelajar ijazah pertama NUS adalah rakyat Singapura.

Universitas Indonesia (UI), universiti terunggul Indonesia, juga menerima pelajar antarabangsa yang membentuk sekitar 18% daripada jumlah enrolmen, termasuk ramai pelajar pascasiswazah.

Ia menawarkan program antarabangsa dalam bahasa Inggeris serta program ijazah berganda, tetapi program ijazah pertama tetap diutamakan untuk pelajar tempatan.

Majoriti besar daripada 40,000 pelajarnya adalah rakyat Indonesia, memenuhi misi nasional dan kewajipan kepada rakyatnya terlebih dahulu.

Chulalongkorn University di Thailand, universiti terbaik negara itu, juga mempunyai majoriti pelajar tempatan.

Daripada 36,000 pelajar, hampir kesemuanya adalah warga Thai, dengan sedikit usaha diversifikasi melalui program antarabangsa dan kerjasama pertukaran bakat, namun hakikatnya hampir semua tempat ijazah pertama diberikan kepada pelajar Thai.

University of California, Los Angeles (UCLA), salah satu universiti awam terbaik dunia, juga mengamalkan sistem seimbang. Hanya 7–8% pelajar ijazah pertamanya adalah pelajar antarabangsa, selepas kebimbangan timbul bahawa terlalu banyak tempat diambil oleh pelajar asing yang mampu membayar yuran lebih tinggi.

Dengan mengehadkan angka ini, UCLA menjamin sekurang-kurangnya 82% tempat kemasukan tahun pertama untuk pelajar tempatan, mengekalkan kepercayaan awam.

Walaupun dengan had ini, UCLA tetap mengekalkan prestij globalnya serta menarik sarjana antarabangsa terbaik di peringkat pascasiswazah dan penyelidikan.

Model ini menunjukkan cara formal menetapkan nisbah: memastikan bahagian terbesar untuk pelajar tempatan, sambil memberi ruang kepada bakat antarabangsa untuk memperkayakan kampus dengan had dan struktur limitasi yang jelas, tanpa mengorbankan kepentingan warga tempatan.

Semua model ini menggambarkan pendekatan strategik yang sama: memastikan bakat tempatan didahulukan, dibangunkan dan dihargai. Universiti-universiti utama ini mengekalkan jumlah pelajar antarabangsa ijazah pertama yang sederhana, biasanya di bawah 25%, supaya pelajar tempatan tidak diketepikan.

Paling penting, kehadiran pelajar antarabangsa adalah biasanya melalui saluran berasingan, seperti kuota program antarabangsa, kerjasama berkembar, atau pengambilan peringkat pascasiswazah, bukannya mengambil tempat yang diperuntukkan untuk warga tempatan.

Di UM, kita juga mengamalkan prinsip yang sama. Kehadiran pelajar antarabangsa disusun secara strategik agar tidak menjejaskan kemasukan pelajar tempatan di peringkat ijazah pertama. Jika dilaksanakan dengan betul, ia menghasilkan keseimbangan penting dan hasil yang saling memperkukuh: kampus diperkaya dengan bakat global, dan berkhidmat kepada pembangunan negara dalam memajukan bakat tempatan, memperkasa peluang anak watan, dan meningkatkan mobiliti sosial serta kemajuan ilmu, dengan keutamaan tetap pada pembangunan negara dan pengiktirafan bakat tempatan.

Kepentingan Globalisasi dan Manfaatnya kepada Warga Tempatan

Ada yang mungkin bertanya mengapa universiti awam di Malaysia membawa masuk pelajar atau pensyarah antarabangsa sedangkan permintaan tempatan tinggi.

Bakat tempatan sentiasa diutamakan, khususnya di peringkat ijazah pertama, tetapi ini bukanlah bersifat zero-sum game.

Kehadiran bakat dan kepakaran asing distrukturkan secara strategik untuk wujud secara selari, berfungsi sebagai faktor penggalak bagi negara menjadi hab global penyelidikan dan kecemerlangan akademik, serta melengkapi usaha memajukan bakat dan kepakaran tempatan.

Segulung ijazah pada hari ini lebih daripada sekadar pembelajaran dalam bilik kuliah secara konvensional; ia adalah proses komprehensif sebagai persediaan menghadapi dunia global.

Kehadiran komuniti antarabangsa tidak hanya terhad pada permainan ranking dan pengiktirafan, tetapi mewujudkan ekosistem pembelajaran bersama yang holistik, di mana idea dan perspektif bertemu.

Penciptaan ilmu diperkasa apabila pelajar dari pelbagai negara menyumbangkan pandangan dan ilmu perlbagai dan mencipta perdebatan baharu serta kemajuan ilmu dengan nilai tambah tersendiri. Penyelidikan berkembang pesat apabila pemikir terbaik dari seluruh dunia bekerjasama, dan dengan adanya staf antarabangsa seperti di NUS (lebih 60% daripada luar negara), kepakaran serta rangkaian baharu dapat digabungkan.

Manfaat nyata juga dirasai oleh pelajar tempatan, di mana mereka yang berinteraksi dengan rakan antarabangsa membangunkan kemahiran komunikasi silang budaya dan perspektif lebih luas.

Dengan menjemput bakat global secara terpilih dan strategik, pembangunan ini dapat dipertingkatkan. Pengantarabangsaan yang dilaksanakan dengan betul tidak mengurangkan nilai pendidikan tempatan, sebaliknya menjadi nilai tambah.

Frasa kuncinya ialah “dilaksanakan dengan betul”, dengan dasar yang berhati-hati supaya keterangkuman tidak berubah menjadi liabiliti.

Kampus yang pelbagai dari segi global secara progresif melahirkan graduan yang celik ilmu bersifat global, menjadi aset penting bagi mana-mana negara dalam abad ke-21.

Mengutamakan Rakyat Malaysia, Berlunaskan Kemajuan Global

Universiti awam di Malaysia sedar bahawa dasar pembinaan negara kekal sebagai misi utama mereka.

Kontroversi mengenai pelajar cemerlang yang terlepas peluang di universiti tempatan sedang diberi perhatian serius, dan hala tuju ke hadapan sentiasa berasaskan kemajuan serta penambahbaikan berterusan.

Kemasukan dan proses sentiasa berdasarkan merit dan telus, seperti yang ditegaskan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi.

Dalam kitaran 2025, daripada 109,000 pemohon, kira-kira 78,800 (72%) mendapat tempat di universiti awam melalui UPU. Malah, semua 1,255 pemegang STPM dengan CGPA penuh 4.0 dijamin mendapat tempat di universiti (walaupun tidak semua memperoleh pilihan pertama mereka). Hal ini membuktikan usaha ikhlas untuk menampung seramai mungkin pelajar tempatan, namun difahami bahawa tidak semua akan memperoleh kursus pilihan mereka.

Setiap pelajar layak harus mempunyai laluan – jika bukan di UM, mungkin di universiti awam cemerlang lain di Malaysia. Inilah pengiktirafan nasional kepada semua bakat tempatan kita.

Pokoknya, semua pelajar cemerlang di Malaysia mesti diiktiraf dan diberi peluang, dan sistem universiti awam akan terus memastikan semua bakat tempatan kita diiktiraf dan disokong dengan sewajarnya, kerana mereka adalah tunjang masa depan negara.

UM tidak akan berganjak daripada semangat teguh menjadi pembawa panji negara dalam memperjuangkan dan memimpin kepentingan dan hak rakyat.

Walaupun keperluan pengantarabangsaan tetap penting, keutamaan teras sentiasa kekal pada pembangunan modal insan tempatan kita sendiri.

Inilah yang mendorong UM memenuhi mandat nasional ini, walaupun dengan keterbatasan kapasiti dan sumber sedia ada.

Kami memahami semangat juang dan ketekunan bakat muda tempatan yang beraspirasi tinggi dan berjaya, yang berusaha gigih untuk ingin menjadi sebahagian daripada keluarga dan legasi universiti terbaik negara, UM.

Meskipun dengan kekangan, UM akan terus setia pada keyakinan serta tanggungjawab untuk menyokong dan mengiktiraf belia kita.

Proses rayuan dan pelbagai pilihan permohonan diwujudkan bagi memastikan tiada bakat terpinggir. Sistem pengambilan terdahulu dan semasa di peringkat nasional berasaskan meritokrasi, dengan saluran rayuan serta pertimbangan lanjut untuk penempatan di universiti dan bidang kursus yang dikehendaki.

Dalam menelusuri jangkaan masa depan, sistem ini boleh diperhalusi untuk mencerminkan pendekatan lebih holistik dan seimbang.

Juga penting adalah realiti di mana keputusan peperiksaan sahaja tidak wajar menjadi penentu tunggal masa depan pelajar, khususnya memandangkan ramai pencapai cemerlang.

Banyak program kini sudah memerlukan temu duga atau ujian kebolehan mengikut keperluan dan syarat subjek dan kursus tertentu, dan langkah ini boleh diperluas supaya nilai, keadaan sosioekonomi, kompetensi dan indikator lain turut dipertimbangkan bersama keputusan peperiksaan.

Dengan itu, pengambilan pelajar akan lebih menyeluruh tetapi tetap adil dan tidak berat sebelah, dan sistem perlu dipastikan supaya kekal adl dan telus.

Meritokrasi kekal asas utama, namun meritokrasi holistik boleh membantu membezakan kalangan ramai calon A penuh serta menempatkan mereka dalam bidang sesuai dengan kekuatan masing-masing.

Lebih penting lagi, sebaik sahaja pelajar memasuki universiti, sistem sokongan untuk bakat tempatan akan diteruskan.

Universiti awam, termasuk UM, telah meningkatkan program bimbingan, inkubator keusahawanan, bengkel kepimpinan, serta hubungan industri dan antarabangsa untuk memupuk potensi pelajar melangkaui aspek akademik semata-mata.

Mandat pembangunan holistik ini kekal sebagai agenda bersama di seluruh universiti awam, bukan hanya di UM, sebagai sebahagian agenda nasional membangunkan modal insan berkualiti tinggi untuk masa kini dan masa depan, serta memperkasa negara agar bakat terlatih dipupuk di dalam negara tanpa kehilangan mereka kepada tarikan luar.

Adanya ruang penambahbaikan berterusan dalam aspek penempatan, pengiktirafan dan sokongan terhadap bakat tempatan, bagi mencerminkan indikator pembangunan masa depan yang sentiasa berubah, menjadi platform pembangunan bersama.

Kami mengalu-alukan pandangan bernas dan konstruktif demi memperkasa ekosistem ini, dengan matlamat akhir memastikan rakyat dan negara kita sentiasa menjadi pihak pertama yang menerima manfaat.

Justeru, saya memberi jaminan bahawa kami akan meneliti semua kes di mana pelajar Malaysia layak dan memenuhi kriteria bagi semua kursus kami di UM, serta rayuan serta permohonan akan dipertimbangkan dengan adil dan penuh kefahaman.

Itulah sekurang-kurangnya yang dapat kami lakukan sebagai pemegang panji utama kecemerlangan negara, dan kami akan terus menunaikan mandat serta tanggungjawab nasional kami.

Hala Tuju Masa Depan: Bertaraf Global, Berteraskan Nasional

Dunia pendidikan tinggi sedang berkembang pesat, dan Malaysia, seperti negara sedang pesat membangun lain, mesti bukan sahaja menyesuaikan diri, tetapi tangkas dan berdaya tahan untuk terus maju ke hadapan.

Kita kini mendidik Generasi Z dan tidak lama lagi Generasi Alpha, kumpulan anak muda celik digital dan global yang bercita-cita tinggi. Mereka bersaing hebat demi pencapaian akademik, tetapi juga mencari kreativiti, makna dan impak dalam pendidikan mereka.

Universiti Malaya sebagai universiti utama negara, bersedia memimpin perubahan ini dengan dua peranan yang sama pentingnya: pencetus kemajuan nasional melalui penghasilan dan pemupukan pembangunan pemimpin tempatan, serta penanda aras kecemerlangan global melalui penyelidikan dan kerjasama antarabangsa dengan bakat global.

Bolehkah UM terus mendaki tangga kedudukan pengiktirafan global sambil tidak melupakan pelajar Tingkatan Enam atau Matrikulasi yang berusaha keras demi peluang untuk masuk ke UM?

Jawapannya mesti boleh. Ia adalah perancangan keseimbangan yang mencabar, dan memerlukan dasar nasional sokongan yang berterusan dan berpandangan jauh untuk memastikan sistem kekal telus, tangkas dan berdaya tahan.

Negara lain juga menghadapi dilema yang sama. Sistem University of California membuktikan bahawa kita boleh melindungi pelajar tempatan dengan tegas, sambil tetap mendapat manfaat daripada kepelbagaian antarabangsa.

Fokus kita terhadap pembangunan negara tidak pernah luntur. Matlamat utama ialah Malaysia memiliki tenaga kerja berkemahiran tinggi, dengan kumpulan pemikir luas yang mampu memacu kemajuan di dalam negara, serta Malaysia dihormati sebagai hab ilmu yang menarik bakat dari seluruh dunia. Kedua-dua matlamat ini bukanlah bercanggah, tetapi saling melengkapi.

Negara yang membangunkan dan menyokong rakyatnya dengan baik akan menjadi magnet semula jadi kepada orang lain untuk datang belajar, bekerja dan menyumbang; dan sebaliknya, keterbukaan kepada bakat global boleh mempercepatkan pembangunan rakyat sendiri.

Generasi baharu pelajar memahami simbiosis ini, dibesarkan dalam dunia yang terhubung. Universiti kita mesti dan akan terus mencerminkan nilai yang sama: inklusif dan berpandangan global, namun adil serta setia pada aspirasi tempatan, dengan bakat tempatan sebagai keutamaan.

Walaupun kita menghadapi cabaran dalam mengejar kedudukan antarabangsa, ia tidak akan mengorbankan impian pelajar tempatan kita.

Tiada bakat muda Malaysia yang akan diketepikan, dan pada masa yang sama, tenaga kepelbagaian global akan tetap dirasai.

Itulah visi sebuah universiti sejati: yang mengangkat darjat negaranya dan menyumbang kepada dunia, dalam nafas yang sama.

Kita akan terus memastikan semua pelajar tempatan yang telah berusaha gigih untuk mencapai impian mereka diiktiraf atas semangat dan dedikasi mereka.

Di UM, kami turut berkongsi idealisme pengorbanan demi negara, memimpin rakyat dengan ilmu dan keberanian, serta dengan kebanggaan akan tanggungjawab dan kehormatan nasional.

-- BERNAMA

Prof Datuk Seri Ir Dr Noor Azuan Abu Osman ialah Naib Canselor Universiti Malaya.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)