Kecerdasan buatan (AI) kini menjadi pemacu utama perubahan dalam kehidupan seharian manusia, daripada cara bekerja, belajar sehinggalah berkomunikasi.
Namun, di sebalik kelebihan yang ditawarkan, muncul pula kebimbangan tentang kesan teknologi ini terhadap pembangunan kognitif generasi muda dan kanak-kanak.
Kecanggihan teknologi membawa pelbagai manfaat, namun dalam diam ia juga boleh menghakis potensi manusia.
Jika dahulu orang mudah membuat kira-kira mudah secara congak, kini kebiasaan itu semakin hilang kerana terlalu bergantung pada kalkulator.
Situasi sama dijangka berlaku, AI semakin digunakan dalam kehidupan seharian, ia berpotensi mengurangkan daya kreativiti, keupayaan berfikir secara kritis, malah empati manusia.
Fenomena baharu berkaitan wujudnya lambakan kandungan berkualiti rendah yang dijana sistem pintar, termasuk teks, imej, audio dan video.
Kandungan sedemikian sering bersifat generik, berulang, serta kurang tepat, hingga ada yang menyamakannya dengan bentuk spam internet versi baharu.
Situasi ini menimbulkan kebimbangan kerana ia bukan sahaja menyukarkan orang ramai mencari maklumat yang benar-benar berguna, malah berisiko menjejaskan kredibiliti sumber dalam talian serta persepsi generasi muda atau kanak-kanak yang belum terbina lagi, konitif yang ampuh untuk membezakan benar atau tidak sesuatu maklumat yang diperoleh.
Isu utama bukanlah teknologi yang meninggalkan anak-anak, tetapi bahaya penggunaan AI secara tidak terkawal yang boleh menghakis kemampuan mereka berfikir secara mendalam.
Generasi muda yang masih membina asas pengetahuan mudah terdedah kepada kandungan segera. Jika terlalu bergantung kepada AI, mereka mungkin kehilangan peluang penting untuk mengasah daya tahan mental dan keupayaan kritis.
Bagi golongan profesional yang berpengalaman, AI terbukti mampu menyumbang kepada peningkatan produktiviti.
Seorang eksekutif, misalnya, boleh menggunakan teknologi itu untuk meringkaskan transkrip mesyuarat atau meneliti data kompleks.
Keberkesanan ini berlaku kerana mereka sudah mempunyai pengalaman bertahun-tahun dan paras kognatif yang bersesuaian.
Mereka mampu menilai, membetulkan dan mengesahkan hasil kerja AI dengan cepat.
Dalam konteks ini, AI berfungsi sebagai pemangkin, bukan pengganti. Namun, bagi pelajar yang masih di peringkat asas, situasinya berbeza.
Tanpa latihan manual seperti membaca, menulis dan menyelesaikan masalah sendiri, mereka mungkin hanya menjadi pengguna pasif, bukannya pemikir aktif.
Penggunaan AI sebagai jalan pintas turut menimbulkan kebimbangan. Contohnya, seorang pelajar mungkin menyerahkan esei yang dijana AI tanpa memahami aliran hujah di dalamnya.
Begitu juga dalam matematik, jawapan diperoleh dengan cepat, tetapi proses penyelesaian masalah diabaikan. Lebih membimbangkan, kandungan daripada sumber AI generatif yang membanjiri internet boleh mengandungi maklumat salah atau separuh benar.
Tanpa kemahiran literasi digital yang kukuh, pelajar berisiko mempercayai kandungan tersebut tanpa penilaian kritis.
Pendekatan Berfasa
Bagi mengatasi isu ini, pendekatan berfasa amat praktikal untuk dilaksanakan, seumpama melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Pada peringkat awal, anak-anak perlu digalakkan menyelesaikan tugasan kognitif secara manual.
Membaca buku, menulis ringkasan atau menyelesaikan latihan matematik secara tradisional membantu membina disiplin, tumpuan dan kekuatan mental.
Dengan erti kata lain, pendekatan proses pembelajaran secara tradisional masih releven dalam membina capaian kognitif anak-anak. Kaedah ini juga menanam nilai kesabaran serta kemahiran menyelesaikan masalah tanpa bergantung kepada teknologi.
Setelah asas kukuh terbentuk, barulah AI diperkenalkan sebagai rakan kolaboratif. Pada fasa ini, AI tidak digunakan untuk menggantikan usaha, tetapi berperanan sebagai sokongan tambahan.
Anak-anak boleh menggunakannya untuk menyemak jawapan, mendapatkan perspektif baharu atau menjana soalan lanjutan yang merangsang pemikiran kritis.
Dengan cara ini, AI bertindak sebagai alat refleksi yang menggalakkan pembelajaran dua hala, bukannya mesin pemberi jawapan segera.
Fasa seterusnya menekankan integrasi yang lebih matang, yang mana anak-anak atau pelajar dilatih menggunakan AI untuk projek kreatif, kajian mendalam atau penyelesaian masalah dunia sebenar.
Mereka belajar menilai kesahihan maklumat, membezakan idea yang relevan dan menggabungkan pandangan teknologi dengan pengetahuan sedia ada.
Hasilnya, mereka bukan sahaja cekap menggunakan AI, tetapi juga mampu mengekalkan identiti intelektual dan daya kritis.
Pendekatan berfasa ini diyakini mampu melahirkan generasi celik teknologi yang seimbang bukan hanya mahir memanfaatkan kecerdasan buatan, tetapi juga kukuh dari segi daya tahan mental, kemahiran berfikir dan nilai insaniah.
Literasi Digital
Beberapa langkah praktikal turut disyorkan bagi menyokong usaha ini.
Antaranya termasuk membangunkan literasi digital dalam kalangan anak-anak dengan mengajar mereka menilai sumber maklumat dan mengenal pasti bias, menggalakkan kreativiti asli melalui tugasan menulis, melukis atau eksperimen sains tanpa bantuan teknologi, serta mengutamakan perbincangan kritis bersama guru dan ibu bapa.
Anak-anak boleh dilatih menyoal kembali jawapan AI dengan soalan seperti, “Mengapa jawapan ini betul?” atau “Apakah alternatif lain?”.
Dalam masa yang sama, garis panduan penggunaan AI juga perlu ditetapkan agar ia tidak disalah guna secara berlebihan, sama seperti had masa skrin untuk gajet.
Kecerdasan buatan bukanlah musuh. Sebaliknya, ia harus dimanfaatkan dengan cara yang betul. AI dicipta untuk melengkapi keupayaan manusia, bukan menggantikannya.
Jika anak-anak dibimbing menggunakan pendekatan seimbang, mereka bukan sahaja akan mahir mengendalikan teknologi, malah berdaya tahan, kreatif dan kritis.
Masa depan yang dipacu teknologi hanya akan bermakna sekiranya manusia masih memimpin dengan kebijaksanaan, empati dan keaslian.
-- BERNAMA
Dr Noor Zuraidin Mohd Safar ialah Pensyarah Kanan, Jabatan Keselamatan Maklumat dan Teknologi Web, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).