Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 menjadi platform strategik dan kritikal bagi Malaysia dalam mengangkat peranan kepimpinan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025, terutamanya dalam aspek membentuk acuan baharu bagi ASEAN dan untuk keluar daripada perangkap kepompong konvensional yang bersifat regional dan extended regional sphere.
Kepimpinan kali ini di bawah Perdana Menteri cuba untuk menyuntik nafas baharu dalam mengekalkan kerelevanan dan kepentingan strategik ASEAN dalam agenda global yang lebih menyeluruh, dalam menjadi penghubung kepada entiti dan institusi kuasa global lain termasuk GCC, BRICS, dan kuasa ekonomi lain.
Sebagai tuan rumah, Malaysia mempunyai kelebihan agenda setting, dalam menetapkan aspek perbincangan dan usul yang ditetapkan yang akan menjadi agenda utama pembuatan keputusan yang melibatkan kepentingan serantau.
Kehadiran pemimpin kuasa besar termasuk Amerika Syarikat, India, China, Kesatuan Eropah dan kemungkinan Rusia, akan menjadi penanda aras dalam memperkukuh imej Malaysia sebagai kuasa penghubung dan kuasa penyeimbang dalam membentuk hala tuju dan mencipta platform bagi kuasa-kuasa besar ini untuk menggunakan platform diplomasi dan dialog dalam konteks peranan dan sumbangan ASEAN kepada usaha untuk mencegah konflik, memupuk usaha keamanan dan usaha conflict management, serta mempertingkat keberkesanan kapasiti confidence building measures.
Ini menonjolkan kapasiti Malaysia sebagai negara peneraju dasar berasaskan konsensus dan berkecuali, sejajar dengan prinsip “centrality of ASEAN”, sekali gus meningkatkan kredibiliti diplomatik dan daya tarikan pelaburan serantau.
Ini meningkatkan profil antarabangsa Malaysia, bukan sahaja sebagai tuan rumah tetapi juga sebagai pemacu dasar yang menekankan keamanan, kemakmuran dan keterangkuman, dan dalam memperkukuh prinsip asas ASEAN iaitu keamanan berpaksikan dialog dan diplomasi.
Memperkukuh Suara bersama ASEAN dalam Isu-isu Serantau
Sidang kali ini menjadi platform utama untuk memperkukuh “ASEAN collective voice” dalam isu-isu merentas sempadan, terutamanya melibatkan aspek keselamatan dan pertahanan.
Melalui rundingan lanjut mengenai Kod Tatalaku Laut China Selatan (COC), ASEAN berpeluang menyeragamkan pendirian bersama bagi mengelakkan ketegangan kuasa besar dan menjamin kebebasan pelayaran, namun masih perlu untuk bergerak secara seiring, pantas dan bersepadu dalam mempertahankan hak dan peranan serantau dan juga hak dan kepentingan negara individu.
Respons dan reaksi dari ASEAN terhadap pelanggaran tatacara dan undang-undang antarabangsa masih dilihat lemah dan berpecah, dan sidang kali ini dijangka tidak akan melihat perubahan dalam konteks prinsip ASEAN untuk tidak memihak dan bersifat berkecuali, namun norma universal dan ruang dialog untuk kerjasama dalam bidang low politics dilihat menjadi sandaran dan pilihan mudah.
Dalam aspek keselamatan, ASEAN masih terikat dengan kepompong lama dalam medan persaingan kuasa memuncak, dan masih tidak mempunyai kapasiti untuk bergantung kepada pendirian dan kapasiti sendiri untuk mencegah konflik, dan menyuarakan pendirian tegas dalam mengutuk tindakan pihak luar termasuk China dalam mencabuli hak kepentingan dan kedaulatan negara anggota disebabkan oleh pengaruh dan pertalian ekonomi dan skop legasi sejarah.
Sidang kali ini dijangka akan terus untuk meneruskan norma konvensional ini, dengan sedikit perubahan dari segi momentum CoC, namun impak jelas CoC masih tidak kelihatan dari segi pelaksanaan pematuhan dan skop yang masih kabur dari segi penguatkuasaan dan sama ada bersifat mengikat (binding) atau sebaliknya.
Agenda lain dalam lingkungan fokus low politics menjadi arena untuk memperdalam skop keterangkuman dan perpaduan ASEAN, di mana aspek ini menjadi lembaran kerjasama lebih mendalam yang lebih mudah untuk dilaksanakan dan dipersetujui tanpa faktor dan tekanan yang mengikat sepertimana dalam aspek geopolitik, ekonomi dan keselamatan yang berlandaskan aspek hard power.
Isu-isu berlunaskan masa depan termasuk perubahan iklim, kemajuan teknologi, ekonomi digital dan ekonomi hijau, keselamatan makanan, keselamatan tenaga, dan ancaman bukan tradisional seperti jenayah transnasional, keselamatan digital siber, pembangunan infrastruktur dan mobiliti sosial, keterangkuman pendidikan dan mekanisme penyelarasan bencana alam, antara lain, akan membentuk skop kerjasama dan sinergi lebih mendalam di ASEAN.
Sidang ini menggerakkan ASEAN Climate Change Agenda, menumpukan kepada peralihan tenaga, keterjaminan makanan, dan kerjasama adaptasi bencana.
Malaysia boleh memimpin dalam bidang teknologi hijau dan tenaga boleh diperbaharui, dan juga agenda tenaga hijau seperti ASEAN Power Grid dan memperkasa jaringan dan jalinan keterhubungan sesama negara anggota ASEAN melalui jaringan pengangkutan dan digital connectivity, terutamanya dalam merapatkan jurang pembangunan, jurang pendidikan dan literasi penduduk, dan juga jurang geografi dari segi skop continental Southeast Asia (benua darat Asia Tenggara) dan Southeast Asian archipelago (kepulauan Asia Tenggara).
Perbincangan mengenai perlindungan pekerja asing dan pelarian memperkukuh komitmen ASEAN terhadap hak asasi manusia dan kesejahteraan sosial, selaras dengan visi ASEAN Socio-Cultural Community 2025.
Fokus Ekonomi dan Perdagangan
Sidang ini juga akan diterajui oleh kepentingan skop perdagangan, ekonomi, dan persaingan sumber ekonomi strategik dan kritikal terutamanya sumber mineral kritikal, semikonduktor, dan impak perang tarif.
Kestabilan ekonomi dan rantaian bekalan menjadi risiko dan kegusaran serantau, dan penekanan terhadap daya tahan ekonomi digital, keselamatan siber, dan transformasi teknologi memperkuatkan daya saing rantau ini dalam menghadapi ketidaktentuan global, di mana Malaysia akan terus memimpin dalam aspek ini, dalam memperkasa sinergi dan daya tahan kekuatan ekonomi intra ASEAN, dan menangani cabaran ekonomi serantau yang masih terikat kepada model berdasarkan eksport dan bersandarkan kepada suntikan pelaburan luar, dan ekonomi bersifat middle income dengan kuasa beli yang masih rendah dan jumlah perdagangan intra ASEAN yang masih lemah, dan juga jurang pembangunan dan jurang kekayaan anggota ASEAN yang tinggi.
Sebagai tuan rumah dan bakal pengerusi, Malaysia sentiasa membentuk agenda masa depan ASEAN, dan ASEAN Community 2045 menjadi satu lagi legasi Malaysia dalam mengekalkan daya saing dan kerelevanan ASEAN dalam menghadapi skop cabaran dan risiko baharu dunia.
Teras daya tahan ekonomi, inovasi, kemampanan, dan pembangunan digital menandakan peralihan ASEAN ke arah komuniti masa depan, dan banyak aspek low politics dijadikan tumpuan, termasuk menampilkan kepimpinan berasaskan nilai dan inklusif, dengan menekankan elemen Malaysia MADANI seperti kemanusiaan, kelestarian dan tanggungjawab global dalam dasar serantau.
Malaysia setakat ini juga mengukuhkan ASEAN Outlook on the Indo-Pacific (AOIP) dengan menekankan keterangkuman dan kerjasama praktikal dalam bidang ekonomi biru, tenaga hijau, dan pembangunan berasaskan sains, dan mempromosikan peranan Malaysia sebagai “bridge nation” dan power balancer dan power connector menghubungkan ASEAN dengan ekonomi maju, dan memastikan rantau ini kekal bebas, terbuka dan berasaskan undang-undang.
Impak Berangkai Kepada Masyarakat
Walaupun bersifat diplomatik, impak sidang ini akan dirasai oleh rakyat melalui pembentukan hala tuju baharu dari segi ekonomi dan peluang pekerjaan melalui kesan limpahan atau spillover effects.
Inisiatif integrasi ekonomi dan rantaian bekalan akan membuka peluang kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), terutama dalam ekonomi digital, pelancongan dan tenaga hijau dan sektor baharu lain.
Peningkatan usaha dari segi keterangkuman akan membentuk usaha mobiliti ilmu dan modal insan dan pendidikan. Perluasan program dan inisiatif ASEAN Scholarships, Student Exchange dan Digital Talent Mobility memberi manfaat langsung kepada belia dan tenaga kerja profesional.
Agenda pembangunan sosial ASEAN, termasuk kesihatan awam, keselamatan makanan dan mitigasi perubahan iklim, memperbaiki kualiti hidup rakyat dan memberikan impak berangkai kepada kualiti kehidupan rakyat.
Kesedaran serantau juga akan meningkat di mana rakyat Malaysia dan ASEAN akan lebih terlibat dalam membina identiti komuniti serantau - “One ASEAN” berasaskan nilai kemanusiaan, keamanan dan kemakmuran bersama.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 bukan sekadar perhimpunan diplomatik, tetapi titik tolak kepada hala tuju baharu rantau ini. Bagi Malaysia, ia membuka ruang untuk mempamerkan kepimpinan strategik, memperkukuh solidariti serantau, dan memastikan manfaat ekonomi serta sosial dirasai oleh seluruh lapisan rakyat, sejajar dengan aspirasi ASEAN Community Beyond 2025 dan Malaysia MADANI.
-- BERNAMA
Collins Chong Yew Keat ialah Penganalisis Strategi, Keselamatan dan Hubungan Antarabangsa Universiti Malaya.