Bakal-bakal pelajar institut pengajian tinggi (IPT) sudah mula mengatur langkah di persada pengajian tinggi masing-masing.
Gelombang yang dilihat banyak memberi saingan serta cabaran seiring dengan keperluan kehendak semasa dunia.
Perubahan landskap pengajian tinggi telah memperlihatkan keperluan generasi kini yang semakin kompleks dalam menghadapi cabaran akademik di IPT.
Generasi ini, yang sinonim dengan era digital dan globalisasi, menuntut pendekatan baharu daripada pihak IPT dalam memastikan pengalaman pembelajaran yang inklusif, fleksibel dan relevan dengan keperluan semasa.
Lima keperluan utama pelajar generasi kini
Terdapat lima keperluan utama pelajar generasi kini, iaitu literasi digital dan penggunaan teknologi, kemahiran insaniah, sokongan psikososial, fleksibiliti pembelajaran, serta jaringan industri bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan.
Namun, apakah peranan yang boleh dimainkan oleh IPT dalam menyediakan ekosistem akademik yang kondusif, lestari serta berdaya saing?
IPT memainkan peranan penting dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, tetapi juga berdaya saing dalam pasaran kerja global.
Generasi kini, khususnya mereka yang tergolong dalam kumpulan Generation Z memiliki latar belakang sosial dan budaya yang berbeza berbanding generasi sebelumnya.
Generasi ini dibesarkan dalam ekosistem teknologi yang pantas, akses maklumat tanpa batasan, serta pendedahan kepada pelbagai cabaran global seperti perubahan iklim, persaingan ekonomi dan transformasi digital.
Justeru, IPT perlu memahami keperluan khusus generasi ini agar mereka dapat menyesuaikan diri dengan lebih baik dalam alam akademik.
Penggunaan teknologi menjadi elemen teras kehidupan generasi kini
Penggunaan teknologi telah menjadi elemen teras dalam kehidupan generasi kini. Pelajar IPT bukan sahaja menggunakan teknologi untuk pembelajaran, tetapi juga untuk komunikasi, penyelidikan dan pembangunan diri.
Oleh itu, IPT perlu menyediakan prasarana digital yang terbaik seperti learning management system (LMS), capaian internet berkelajuan tinggi dan akses kepada bahan rujukan elektronik.
Keunggulan akademik sahaja tidak mencukupi untuk menjamin kebolehpasaran graduan.
Kajian menunjukkan majikan kini memberi penekanan kepada kemahiran insaniah seperti komunikasi berkesan, pemikiran kritis, kepimpinan, serta kebolehan bekerja dalam kumpulan.
IPT perkukuh kemahiran menerusi pelbagai aktiviti
IPT berperanan memperkukuh kemahiran ini melalui aktiviti kokurikulum, program kesukarelawanan, project-based learning serta latihan industri.
Pasaran kerja semakin kompetitif. Pelajar memerlukan lebih banyak peluang latihan industri, pendedahan kepada projek sebenar, serta bimbingan daripada pihak industri.
Kerjasama erat antara IPT dan industri akan membantu pelajar membina keyakinan dan kemahiran sebenar sebelum menjejakkan kaki ke alam pekerjaan. Ini dikatakan sebagai generasi perlu lebih bersedia awal dalam memastikan elemen kebolehpasaran mereka dibentuk seawal usia di IPT.
Tambahan, kesejahteraan mental merupakan isu kritikal dalam kalangan pelajar generasi kini. Tekanan akademik, isu kewangan, serta ketidakpastian masa depan kerjaya boleh menjejaskan kesihatan mental mereka.
Oleh itu, IPT perlu menyediakan perkhidmatan kaunseling, program pembangunan kesejahteraan emosi, serta rangkaian sokongan sosial yang kondusif bagi membantu pelajar mengurus tekanan dengan lebih berkesan. Tekanan belajar, persaingan dan isu kewangan boleh menjejaskan kesejahteraan pelajar.
Generasi kini lebih terbuka untuk membincangkan hal kesihatan mental. Justeru, peranan IPT amat penting dalam menyediakan sokongan kaunseling, program motivasi dan ruang selamat untuk pelajar berkongsi masalah.
Elak masalah tekanan akademik, persaingan melampau
Bagi mengelakkan masalah tekanan akademik, persaingan yang melampau dan isu kewangan di institusi pengajian tinggi, pelajar perlu mengambil langkah proaktif dalam menguruskan kehidupan seharian mereka.
Pengurusan masa yang baik adalah kunci utama. Pelajar disaran untuk menyusun jadual belajar yang realistik dan seimbang, memastikan tugasan disiapkan lebih awal serta mengelakkan sikap menangguh kerja yang sering menambah beban di saat akhir.
Pada masa yang sama, gaya hidup sihat juga harus diamalkan. Tidur yang cukup, pemakanan seimbang serta aktiviti riadah ringan mampu membantu pelajar mengekalkan tahap tenaga dan emosi yang stabil, seterusnya mengurangkan tekanan.
Urus kewangan, aspek sosial dengan baik
Selain itu, bijak mengurus kewangan turut menjadi faktor penting. Pelajar perlu menetapkan bajet bulanan dengan membezakan perbelanjaan keperluan asas dan kehendak sampingan.
Elakkan perbelanjaan berlebihan terhadap perkara tidak penting, sebaliknya pelajar boleh mencari peluang biasiswa, bantuan kewangan kecil atau kerja sambilan yang sesuai tanpa mengganggu pengajian.
Dari aspek sosial, pelajar digalakkan membina rangkaian sokongan yang positif dengan rakan-rakan atau menyertai persatuan di kampus.
Kehadiran kumpulan belajar atau aktiviti kelab bukan sahaja menambah pengetahuan, malah dapat mengurangkan rasa terasing dan mewujudkan semangat kebersamaan.
Fleksibiliti dalam pembelajaran, kebolehpasaran graduan
Generasi kini lebih mengutamakan fleksibiliti dalam proses pembelajaran. Kaedah seperti blended learning, micro-credential, serta pembelajaran kendiri memberi peluang kepada pelajar untuk menyesuaikan diri dengan gaya hidup yang lebih dinamik. IPT harus lebih inovatif dalam memperkenalkan bentuk pengajaran yang tidak terikat sepenuhnya kepada kaedah tradisional, sebaliknya menggabungkan teknologi serta pendekatan pedagogi moden.
Kebolehpasaran graduan bergantung kepada sejauh mana mereka dapat menghubungkan pembelajaran akademik dengan keperluan industri. Jaringan kerjasama antara IPT dan industri amat penting dalam memberi peluang kepada pelajar untuk mendapatkan pendedahan praktikal melalui latihan industri, projek bersama industri, serta program mentor profesional. Strategi ini akan meningkatkan keyakinan pelajar serta membentuk graduan yang bersedia menghadapi cabaran dunia pekerjaan.
Paradigma baharu ekosistem pendidikan tinggi
Generasi kini membawa paradigma baharu dalam ekosistem pendidikan tinggi. Keperluan mereka merangkumi aspek teknologi, kemahiran insaniah, kesejahteraan mental, fleksibiliti pembelajaran, serta jaringan industri.
IPT perlu bersifat proaktif dan inovatif dalam memenuhi keperluan ini agar pelajar bukan sahaja berjaya secara akademik, tetapi juga bersedia sebagai graduan holistik dan kompetitif di peringkat global.
Penyesuaian dasar dan pendekatan IPT dengan keperluan generasi kini akan menjadi pemacu utama kepada kelestarian pendidikan tinggi pada masa hadapan.
--BERNAMA
Ts Dr Mohd Hilmi Izwan Abd Rahim ialah Pensyarah Kanan Jabatan Pengurusan Pembinaan Fakulti Pengurusan Teknologi Dan Perniagaan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)