Oleh Dr Najiah Athirah Jamaludin, Ts Dr Mazidah Mat Rejab
Dalam dunia yang serba moden ini, kita sedang menyaksikan satu perubahan besar yang tidak pernah berlaku sebelum ini iaitu ledakan kecerdasan buatan (AI), pendigitalan dan automasi dalam hampir setiap aspek kehidupan.
Daripada cara kita bekerja, berinteraksi, hingga cara kerajaan mentadbir, teknologi kini menjadi nadi utama pembangunan negara.
Namun, di sebalik kemajuan yang begitu pesat ini, muncul persoalan besar, ke manakah hala tuju manusia jika kemajuan ini hanya berteraskan kebendaan tanpa panduan nilai?
Adakah kita sedang membina tamadun yang benar-benar kukuh, atau sekadar mengejar ilusi kemodenan yang akhirnya melemahkan akar kemanusiaan?
Kemajuan Teknologi Diseimbangkan dengan Nilai Kemanusiaan
Kemajuan teknologi sememangnya penting. Ia membuka peluang baharu dalam pendidikan, kesihatan, ekonomi dan keselamatan.
Tetapi, seperti mana-mana alat yang dicipta manusia, ia boleh menjadi rahmat atau bencana.
Kecerdasan buatan misalnya, mampu meringankan kerja manusia, namun juga boleh menggugat privasi, pekerjaan, malah keselamatan jika disalah guna.
Dalam mengejar kecemerlangan digital, manusia sering terperangkap dalam perlumbaan yang terlalu materialistik.
Keuntungan, kuasa dan status menjadi ukuran kejayaan. Lalu nilai kemanusiaan, kejujuran dan adab kian terpinggir.
Di sinilah datangnya peringatan yang amat bermakna daripada Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Anwar Ibrahim dalam Program Malaysia Bermunajat 2025 iaitu:
“Kemajuan yang tidak berpaksikan kefahaman dan pencerahan nilai hanya akan melahirkan pembangunan yang rapuh dan tidak berakar.”- Anwar
Kata-kata ini wajar direnungi oleh setiap lapisan masyarakat.
Dalam usaha kita memacu Malaysia sebagai negara digital berpendapatan tinggi, kita tidak boleh meninggalkan asas moral dan spiritual yang menjadi tunjang bangsa. Teknologi yang tidak dipandu nilai akan kehilangan arah dan akhirnya memudaratkan manusia itu sendiri.
Oleh itu, sudah tiba masanya kita kembali menggali khazanah ilmu Islam dan warisan sarjana terdahulu.
Mereka bukan sekadar tokoh agama, tetapi juga saintis, jurutera, ahli falsafah dan pentadbir unggul yang berjaya menggabungkan wahyu dan akal.
Kehebatan tamadun Islam dahulu bukan kerana harta atau senjata, tetapi kerana ilmu yang disertai hikmah dan adab.
Khazanah ini harus dihamparkan semula untuk kita pelajari dan sesuaikan dengan cabaran masa kini.
Dalam bidang teknologi misalnya, prinsip keadilan, amanah dan ihsan boleh dijadikan asas kepada reka bentuk algoritma dan dasar penggunaan AI.
Begitu juga dalam pendidikan, pelajar bukan sahaja perlu mahir dalam sains dan teknologi, tetapi juga berakhlak dan memahami tanggungjawab sosial terhadap ciptaan mereka.
Negara yang membangunkan teknologi tanpa nilai kemanusiaan akan berhadapan krisis kepercayaan dan kehancuran sosial. Kita dapat lihat di peringkat global bagaimana data disalah guna, berita palsu disebarkan dan jurang digital semakin melebar. Semua ini menunjukkan bahawa kemajuan tanpa panduan rohani tidak akan kekal lama.
Pembangunan Teknologi Membina Ekosistem yang Mampan dan Manusiawi
Dalam konteks Malaysia Madani, pembangunan digital mesti berpaksikan kesejahteraan manusia.
AI seharusnya menjadi alat untuk memperkukuh kesejahteraan rakyat, bukan menggantikan manusia. Teknologi perlu memperkasa, bukan memperhambakan.
Untuk itu, dasar dan tatakelola yang adil, beretika dan berintegriti amat penting.
Sektor awam dan swasta juga perlu bergerak seiring dengan semangat tanggungjawab sosial. Pelaburan dalam AI bukan sekadar untuk keuntungan ekonomi, tetapi untuk membina ekosistem yang mampan dan manusiawi.
Inilah yang membezakan pembangunan berasaskan nilai dengan pembangunan semata-mata berorientasikan keuntungan.
Kita tidak menolak teknologi, sebaliknya ingin membimbingnya agar sejajar dengan fitrah manusia. Kemajuan yang berteraskan nilai akan menghasilkan masyarakat yang bukan sahaja bijak digital, tetapi juga matang moral dan spiritual.
Sebagaimana manusia tidak dapat hidup tanpa jiwa, teknologi juga tidak akan bermakna tanpa nilai.
Maka, biarlah Malaysia menjadi contoh sebuah negara yang membangunkan dunia digital dengan jiwa Madani, mengimbangi kecanggihan dengan kemanusiaan, akal dengan iman, dan ilmu dengan hikmah.
-- BERNAMA
Dr Najiah Athirah Jamaludin ialah Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Islam Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).
Ts Dr Mazidah Mat Rejab ialah Pensyarah Kanan,Jabatan Kejuruteraan Perisian, Fakulti Komputer dan Teknologi Maklumat Universiti Tun Hussein Onn (UTHM).