Oleh Profesor Ts Dr Rabiah Ahmad, Profesor Dr Afandi Ahmad
Peranan pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) dalam melahirkan bakat dengan nilai kompetensi bagi memenuhi keperluan sektor tenaga kerja kritikal negara tidak dapat disangkal.
Contohnya, negara yang bergantung kepada sektor pertanian, keberhasilan tenaga kerja berkemahiran dan celik teknologi tidak akan berhasil tanpa kerangka TVET yang jelas dan berimpak.
Dapat dilihat negara seperti China, Jepun dan Korea Selatan amat menekankan modal insan berkemahiran dan agenda ini juga selari dengan kerangka TVET oleh United Nations Educational, Scientific and Cultural Organisation (UNESCO).
Malaysia memacu TVET
Malaysia juga tidak terkecuali, buktinya usaha Kerajaan dalam memacu TVET dapat dilihat dengan penubuhan Sekretariat Majlis TVET Negara (MTVET), Jabatan Perdana Menteri yang dipengerusikan oleh Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri Malaysia.
Menerusi MTVET dan kerjasama bersepadu industri, lanskap institusi TVET di Malaysia yang digerakkan oleh 12 Kementerian selain pihak kerajaan negeri, badan berkanun dan swasta jelas memperkukuh memacu jenama TVET di Malaysia sebagai pilihan utama selain impaknya dalam pembangunan modal insan ke arah pertumbuhan ekonomi negara yang lebih pesat dan berdaya saing.
Apabila World Economic Forum (WEF) 2026 menggariskan lima risiko global yang berpusat kepada kecelaruan geopolitik yang sukar diramal, kepesatan penerokaan ekonomi yang lebih berdaya tahan, kerumitan pembangunan bakat kalis masa hadapan, ketangkasan perkembangan teknologi yang mencapah berbanding etika, serta ketulusan dalam melihat kekayaan tanpa mengabaikan kepentingan planet, maka integrasi terhadap elemen persekitaran, sosial dan tadbir urus yang baik Environment, Social & Good Governance (ESG) untuk TVET di Malaysia mesti diperkukuhkan.
Transformasi TVET Johor berinovatif
Sebagai satu-satunya universiti teknikal yang terletak di negeri Johor, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) mesti memimpin perubahan agenda TVET Johor yang berinovatif. TVET Johor mesti istimewa dan mendahului, selari dengan agenda luar biasa Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Justeru, UTHM juga mesti berada di barisan hadapan dalam menggariskan kerangka untuk melahirkan sumber tenaga kompeten bertaraf global, bakat profesional dan bakal teknousahawan, selari dengan hasrat menjadikan UTHM sebagai Global Technopreneur University 2030 (GTU 2030).
Penghasilan bakat ini penting bukan sahaja untuk kemajuan Johor, malah Malaysia secara keseluruhannya.
UTHM yang juga dianugerahkan Pemegang Kursi Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dalam bidang Kompetensi Pendidik TVET dan Kemahiran Merentas Bidang untuk Pembangunan Profesional, meletakkan UTHM sebagai institusi ulung bagi membentuk masa depan TVET selaras dengan Strategi Jangka Sederhana UNESCO 2022 hingga 2029 serta Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Justeru, memacu transformasi TVET Johor berinovatif yang bukan hanya tentang kepesatan teknologi, tetapi disandar bersama kerangka ESG seiring dengan cabaran global mesti digerakkan. Transformasi ini boleh direalisasikan menerusi pengembangan Model HUSSEIN yang terkandung dalam Pelan Strategik UTHM 2021 – 2025 untuk dikembangkan menerusi agenda TVET Johor, iaitu:
Kerangka ESG dan penerapannya dalam TVET
Menelusuri ESG di Malaysia, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) telah menggariskan National Industry Framework for ESG (NiESG) atau lebih dikenali sebagai kerangka i-ESG yang berperanan sebagai panduan kepada industri dalam mendepani isu perubahan iklim, menyantuni pekerja serta masyarakat, berinovasi serta mengurus sumber dengan lebih lestari.
Justeru, semua organisasi mesti menjadikan penerapan agenda ESG diarusperdanakan agar dalam pada semua pihak melihat keuntungan (profit) sebagai sasaran utama, komponen manusia (people) dan bumi (planet) mesti diangkat bersama.
Semua pihak perlu sedar dan memainkan peranan dalam memelihara kelestarian alam dan kehijauan bumi, merangka agenda dan gaya hidup ke arah penjimatan tenaga, menguruskan sisa serta pelepasan gas rumah hijau dengan berkesan.
Selain itu, penting juga ditekankan agar segenap penjuru masyarakat mendapat manfaat dan impak ekonomi yang semuanya terhasil kesan tadbir urus yang telus dan penuh etika.
Ringkasnya, penerapan agenda ESG dalam TVET dan khususnya TVET Johor tidak harus dilihat sebagai perkara baharu, malah membebankan atau sekadar indah sebagai slogan ucapan.
Hakikatnya, penelitian semula yang lebih strategik mesti digerakkan serta sinergi bersama semua adalah signifikan. Di bahu kita terletak amanah untuk generasi masa depan dan negara yang kita cintai. Perkembangan ekonomi dan teknologi akan terus lagi dan lagi berkembang pesat. Kepesatan ini mesti dipastikan membawa lebih membawa manfaat buat rakyat.
TVET dan ESG umpama irama dan lagu yang tidak boleh dipisahkan. Integrasinya mesti disusun penuh tanggungjawab dan melihat ke hadapan. Maka, UTHM mesti menjadi katalis membawa perubahan ekosistem TVET di Johor yang lebih mampan. UTHM mesti memimpin perubahan, kerana kita menerajui dan meneroka dengan HIKMAH!
-- BERNAMA
Profesor Ts Dr Rabiah Ahmad, FASc ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) manakala Profesor Dr Afandi Ahmad ialah Provost Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Kampus Cawangan Pagoh.