PENA WANITA

HARI KANAK-KANAK: RAI DAN FAHAMI DUNIA SI CILIK

20/11/2025 12:17 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Nurulisyaliza Othaman

Saban tahun Hari Kanak-Kanak disambut pada setiap 20 November mengingatkan kita bahawa anak-anak adalah anugerah paling bernilai yang perlu dipelihara dengan penuh kasih sayang, perhatian dan tanggungjawab.

Mereka bukan sekadar pelapis dan pewaris negara, tetapi juga gambaran masa hadapan yang sedang kita corakkan hari ini.

Oleh itu, sambutan ini dilihat daripada pandangan halus bukan hanya acara tahunan di sekolah atau tadika, tetapi satu peluang untuk memperkukuh komitmen kita dalam memastikan kesejahteraan dan kebajikan kanak-kanak sentiasa terpelihara.

Kanak-kanak berdepan pelbagai cabaran

Kanak-kanak masa kini berdepan pelbagai cabaran yang jauh berbeza berbanding generasi dahulu. Jika dahulu, seusai tamat sesi persekolahan harian, kita sibuk dengan mainan masak-masak atau jika tidak parit tempat berkubang menjadi pilihan.

Kini, pemandangan tersebut perlahan-lahan hilang. Pendedahan kepada teknologi, penggunaan gajet tanpa kawalan, keselamatan siber, tekanan akademik dan isu kesihatan mental merupakan antara cabaran baharu yang memerlukan perhatian serius.

Justeru, ibu bapa, guru dan masyarakat perlu bergabung bersama memikul tanggungjawab dalam menyediakan persekitaran yang stabil, selamat dan menyokong perkembangan holistik mereka.

Kanak-kanak yang membesar dalam suasana positif akan lebih berkeyakinan, berdikari dan mampu membuat keputusan yang baik apabila dewasa kelak.

Pendidikan awal kanak-kanak

Pendidikan awal kanak-kanak juga menjadi aspek utama dalam membentuk sahsiah dan potensi diri mereka. Sekolah ialah ruang yang bukan sahaja membekalkan ilmu, tetapi juga medan untuk membina sahsiah, daya kreativiti, empati dan kemahiran sosial.

Sambutan Hari Kanak-kanak

Sambutan Hari Kanak-Kanak sering dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti seperti pertandingan mewarna, persembahan murid, sukaneka, sudut bacaan dan sesi bercerita.

Aktiviti sebegini bukan sekadar hiburan, tetapi penting dalam merangsang perkembangan emosi, kreativiti dan semangat kerjasama.

Selain itu juga, ia sangat penting diadakan untuk membina keyakinan diri kanak-kanak terhadap bakat dan potensi yang mereka ada. Lebih bermakna apabila ibu bapa turut serta kerana hubungan kekeluargaan yang erat adalah asas kepada perkembangan mental dan emosi yang sihat.

Hak kanak-kanak tidak boleh diabai

Yang paling utama, kita tidak boleh mengabaikan hak kanak-kanak seperti hak mendapatkan pendidikan, perlindungan daripada keganasan, peluang bermain sesame mereka sambil meneroka pengetahuan, penjagaan kesihatan dan suasana hidup yang selamat.

Kanak-kanak perlu dilihat sebagai individu yang mempunyai suara, perasaan dan keperluan yang mesti dihormati.

Raikan kehadiran mereka di mana sahaja mereka pergi, kita sebagai golongan dewasa yang matang perlu menjadi peneman dan tulang belakang buat mereka dalam aktiviti-aktiviti baik yang mereka sertai.

Apabila hak mereka dipelihara, mereka akan membesar menjadi generasi yang berfikiran matang dan bertanggungjawab.

Ragam kanak-kanak

Pada waktu yang sama, kita perlu mengakui bahawa ada masanya ragam kanak-kanak sukar difahami.

Kadang mereka meragam tanpa sebab yang jelas, berubah emosi secara tiba-tiba, atau menunjukkan tingkah laku yang tidak kita jangka.

Hakikatnya, kanak-kanak masih belajar memahami emosi mereka dan belum mampu meluahkan perasaan dengan sepenuhnya. Oleh itu, apabila mereka marah, menangis atau diam, adakalanya itu hanyalah cara mereka meminta perhatian, merasa tidak selamat, penat atau keliru.

Cabaran perlu kesabaran

Cabaran untuk memahami kehendak mereka menuntut kesabaran yang sangat besar, pemerhatian dan empati daripada orang dewasa.

Solusinya bukan sekadar memarahi atau memaksa mereka bertenang, tetapi memberikan ruang untuk mereka berekspresi, bertanya dengan lembut, mendengar tanpa menghakimi, serta menunjukkan kepada mereka bahawa perasaan mereka masih relevan dan boleh difahami.

Apabila kanak-kanak diberi ruang untuk meluahkan diri dengan selamat, mereka akan lebih mudah bekerjasama, berkomunikasi dan berkembang sebagai individu yang sihat emosi.

Semua itu hanyalah sementara, mereka juga akan membesar dan dewasa seperti kita. Semakin bertambah usia, semakin matang pemikiran mereka dan pada saat itulah, kita akan kembali merindui ragam mereka.

Sempena Hari Kanak-Kanak ini, kita bersama-sama perlu memperbaharui tekad untuk terus menjaga, mendidik dan membimbing mereka sebaik mungkin.

Setiap kata positif yang kita ucapkan, setiap masa yang kita luangkan, dan setiap perhatian yang kita berikan hari ini akan membentuk siapa mereka pada masa depan. Kanak-kanak yang gembira, disayangi dan dihargai adalah asas kepada masyarakat yang harmoni dan negara yang cemerlang.

-- BERNAMA

Nurulisyazila Othaman ialah Guru Bahasa Pusat Pengajian Bahasa, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)