Oleh Sr Dr Mohd Nurfaisal Baharuddin dan Profesor Madya Sr Dr Irwan Mohammad Ali
Insiden seorang lelaki cedera akibat dihempap kayu alang yang jatuh dari bumbung sebuah premis di George Town, Pulau Pinang baru-baru ini wajar dijadikan amaran kepada semua pihak.
Kejadian tersebut menyerlahkan risiko kegagalan elemen bangunan berusia yang tidak dipantau secara berkala, khususnya di kawasan tumpuan orang awam.
Persediaan menyambut Tahun Melawat Malaysia 2026
Dalam konteks persediaan Malaysia sebagai destinasi utama pelancongan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, isu keselamatan dan penyenggaraan bangunan warisan serta bangunan ikonik tidak boleh dipandang ringan.
Bangunan-bangunan ini bukan sahaja berfungsi sebagai aset fizikal, malah menjadi simbol identiti bandar, tarikan pelancong dan wajah negara di mata dunia.
Kawasan bandar bersejarah seperti George Town, Melaka dan pusat bandar lama di beberapa negeri lain akan menerima aliran pelancong yang tinggi.
Sudah pasti, kerancakkan pelancongan akan menyebabkan berlaku interaksi langsung antara bangunan dan orang awam setiap hari. Kegagalan elemen bangunan walaupun kecil berpotensi menjejaskan keselamatan pelawat serta imej negara.
Justeru, aspek penjagaan, keselamatan, penyenggaraan dan keceriaan bangunan warisan serta bangunan ikonik wajar diberikan keutamaan melalui pemeriksaan berkala yang sistematik dan berasaskan risiko.
Pendekatan ini bukan sahaja menyokong agenda keselamatan awam, malah memastikan pengalaman pelancongan yang selamat, selesa dan berkualiti selaras dengan aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2026.
Hakikatnya, semua bangunan terdedah kepada degradasi semula jadi akibat cuaca, kelembapan, penuaan bahan dan faktor biologi. Kegagalan elemen seperti bumbung, kayu alang dan fasad bukan sahaja mengancam penghuni, malah membahayakan orang awam di sekitarnya.
Perundangan wujud tetapi pelaksanaan terhad
Walaupun Seksyen 85A, Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) menyediakan asas perundangan bagi pemeriksaan bangunan bertingkat tinggi, pelaksanaannya masih terhad.
Pendekatan yang terlalu bergantung kepada bilangan tingkat tidak lagi mencerminkan risiko sebenar, terutamanya di kawasan bandar lama dan tumpuan pelancong.
Seksyen ini memberi kuasa kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk menghendaki pemeriksaan selepas tempoh tertentu daripada tarikh Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC), tertumpu kepada bangunan lima tingkat ke atas.
Walaupun penting, peruntukan ini tidak meliputi banyak bangunan awam berisiko tinggi seperti premis perniagaan, bangunan lama dan warisan di kawasan bandar sesak.
Degradasi dan penurunan prestasi bangunan berpunca pelbagai faktor
Bangunan, sebagai aset fizikal, mengalami penurunan prestasi sepanjang kitar hayat akibat faktor persekitaran, intensiti penggunaan dan penuaan bahan.
Insiden di George Town, Pulau Pinang yang melibatkan bangunan rendah menunjukkan bahawa risiko keselamatan awam wujud merentasi semua kategori bangunan, termasuk yang kurang daripada lima tingkat.
Jurang utama dalam pendekatan sedia ada termasuk penilaian risiko yang terlalu bergantung kepada ketinggian bangunan.
Bukti lapangan menunjukkan kebanyakan kecederaan awam berpunca daripada kegagalan elemen luaran bangunan rendah, terutama yang berhadapan terus dengan laluan pejalan kaki.
Kedua, tiada mekanisme pemeriksaan proaktif bagi bangunan lama dan bangunan warisan.
Bangunan jenis ini lazimnya menggunakan bahan serta teknik binaan tradisional yang memerlukan pemantauan khusus, namun masih tidak tertakluk kepada pemeriksaan wajib secara berjadual.
Pemeriksaan bangunan berkala kebiasaannya dilaksanakan oleh juruukur bangunan, selaras dengan kepakaran profesional mereka dalam menilai prestasi, kecacatan dan risiko bangunan.
Ketiga, pengurusan keselamatan bangunan masih bersifat reaktif, dengan pembaikan hanya dilakukan selepas aduan atau insiden berlaku, bukannya melalui pemeriksaan berjadual.
Pemeriksaan bagunan rendah wajar jadi mandatori
Dari sudut keselamatan awam, pemeriksaan bangunan rendah wajar dijadikan mandatori kerana bangunan jenis ini berinteraksi langsung dengan orang awam, menjadikan kegagalan kecil pun berpotensi mencederakan.
Bahan binaan lama seperti kayu, mortar kapur dan sambungan tradisional mengalami degradasi progresif yang sukar dikesan tanpa pemeriksaan profesional.
Tanpa pemantauan berkala, kecacatan hanya dikenal pasti selepas insiden berlaku.
Prinsip tanggungjawab pemilik bangunan juga penting.
Walaupun tiada kewajipan statutori khusus bagi bangunan rendah, pemilik wajib memastikan bangunan mereka selamat. Kegagalan mengambil langkah pencegahan boleh membawa implikasi liabiliti.
Dari sudut kos, pemeriksaan berkala lebih ekonomik dalam jangka panjang kerana intervensi awal mengurangkan kos pembaikan besar dan gangguan operasi premis.
Sehubungan itu, pendekatan penguatkuasaan berasaskan bilangan tingkat semata-mata dilihat semakin tidak memadai dan perlu dinilai semula.
Beberapa langkah dasar wajar dipertimbangkan, antaranya pelaksanaan pemeriksaan bangunan berasaskan risiko yang mengambil kira usia bangunan, fungsi, bahan binaan dan tahap pendedahan awam.
Garis panduan perlu diwujudkan
Justeru, garis panduan khusus bagi bangunan rendah berisiko tinggi, termasuk bangunan warisan dan premis komersial di bandar lama, juga perlu diwujudkan.
Integrasi sistem pemantauan digital oleh PBT juga penting bagi merekod status pemeriksaan dan tindakan susulan secara sistematik.
Penyediaan insentif dan sokongan teknikal kepada pemilik bangunan bagi menggalakkan pemeriksaan sukarela sebelum tempoh wajib.
Keselamatan bangunan adalah tanggungjawab bersama pemilik, pengendali, pihak berkuasa dan masyarakat umum, serta wajar dilihat sebagai sebahagian daripada agenda keselamatan awam dan kelestarian bandar.
Walaupun Seksyen 85A Akta 133 menyediakan kerangka asas, pendekatan berasaskan risiko yang lebih inklusif diperlukan untuk menangani realiti bangunan sedia ada.
Pemeriksaan bangunan secara berkala, tanpa mengira ketinggian, bukan sahaja langkah pencegahan teknikal yang proaktif, malah instrumen dasar yang berkesan untuk melindungi nyawa serta mewujudkan persekitaran binaan yang lebih selamat dan lestari.
Lebih-lebih lagi negara bakal menerima pelancong dari pelusuk dunia sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
-- BERNAMA
Sr Dr Mohd Nurfaisal Baharuddin ialah Pensyarah Kanan Fakulti Alam Bina Universiti Teknologi MARA (UiTM), Cawangan Perak, Jurukur Bangunan Berdaftar (MyRBS); Konservator Berdaftar, Jabatan Warisan Negara (JWN) manakala Profesor Madya Sr Dr Irwan Mohammad Ali Fakulti Alam Bina Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak dan Jurukur Bangunan Berdaftar (MyRBS).