Oleh Tan Sri Nazir Razak
14 Januari 2026 ini genaplah lima puluh tahun pemergian ayahanda saya, Tun Abdul Razak Hussein. Bagi ramai orang, beliau lebih dikenali sebagai simbol sejarah - nama pada bangunan, potret pada tugu, atau bab di dalam buku sejarah.
Bagi kebanyakan rakyat Malaysia, tahun 1976 hanyalah satu tarikh rujukan, bukan lagi pengalaman yang dirasai.
Justeru, ulang tahun setengah abad ini wajar menjadi detik untuk kita bertanya semula apakah makna sebenar warisan Tun Razak, dan bagaimana ia harus terus memberi khidmat kepada negara kita.
Ruang perubahan untuk Yayasan Tun Razak
Selama lima dekad, Yayasan Tun Razak telah memainkan peranan penting sebagai pemelihara legasi beliau.
Saya berasa amat berbesar hati diberi amanah sebagai pengerusi baharu yayasan ini.
Namun, detik ulang tahun ini membuka ruang untuk perubahan. Kami mahu bergerak daripada sekadar menjaga memori Tun Razak kepada menghidupkan nilai, pendekatan dan cara kepimpinan beliau.
Fokus kami bukan lagi pada nostalgia masa lalu, tetapi pada bagaimana prinsip asas itu boleh dimanfaatkan oleh generasi pemimpin baharu yang sedang berdepan cabaran yang jauh lebih kompleks.
Sebagai seorang anak, dan juga sebagai seorang pemimpin dunia korporat, saya belajar bahawa setiap tokoh besar meninggalkan pelan induk. Tetapi realitinya, dunia sentiasa berubah.
Menulis pelan baharu
Berdasarkan apa yang saya kenal tentang ayahanda saya, saya percaya beliau sendiri akan berkata, “jika konteks telah berubah dan pelan lama tidak lagi memadai, maka tugas generasi seterusnya ialah menulis pelan yang baharu.” Sepertimana hidupnya didedikasikan kepada pembinaan negara, warisannya juga seharusnya terus berkhidmat untuk tujuan tersebut. CommonGround, F01-F08, 1st Floor, Citta Mall, 1, Jalan PJU 1a/48, Ara Damansara, 47301 Petaling Jaya, Selangor
Tun Razak dan generasi pengasas membina negara
Tun Razak dan generasi pengasas membina negara ini dalam keadaan yang amat mencabar, tanpa contoh terdahulu untuk dijadikan templat.
Mereka berhadapan dengan ancaman yang nyata seperti pemberontakan komunis, Konfrontasi dan ketegangan kaum dalam usaha membina sebuah negara daripada masyarakat yang terbelah.
Menjelang akhir hayat beliau, Malaysia wujud sebagai sebuah negara, tetapi pembinaan bangsa Malaysia masih belum selesai. Projek itu masih berjalan hingga hari ini.
Menyediakan pemimpin masa kini dan masa depan
Warisan tidak akan dapat bertahan dengan hanya memperingati apa yang telah dibina. Ia hidup apabila kita mewarisi keupayaan untuk menyelesaikan masalah baharu dengan semangat yang sama.
Amanah kepimpinan hari ini ialah menyediakan pemimpin masa kini dan masa depan dengan ketajaman intelektual dan keberanian moral untuk memahami cabaran baharu, serta bertindak dengan ketegasan seperti era pembinaan negara dahulu.
Pada masa yang sama, kita mesti memupuk nilai perundingan, empati, merendah diri dan pragmatisme; ciri-ciri yang menjadikan Tun Razak seorang pemimpin yang dihormati.
Nilai-nilai ini bukan diniatkan sebagai ideal-ideal abstrak. Ia berfungsi dalam amalan. Kerendahan hati, misalnya, diterjemahkan melalui kesediaan untuk mendengar, berbincang dan mengubah haluan apabila perlu.
Selepas tragedi 13 Mei, Tun Razak mentadbir melalui undang-undang darurat selama hampir dua tahun. Namun dalam tempoh itu, beliau menubuhkan Majlis Perundingan Negara untuk memahami punca krisis dan merangka pembaharuan besar seperti Dasar Ekonomi Baru, Rukun Negara dan konsep kerajaan perpaduan.
Apabila asas kestabilan kembali terbina, beliau secara sukarela memulangkan kuasa kepada Parlimen. Itu satu tindakan yang jarang berlaku dalam sejarah.
Pragmatik atasi dogma politik sempat
Pragmatisme meletakkan kebajikan rakyat mengatasi dogma politik sempit. Tun Razak percaya kepada pasaran, namun menolak laissez-faire yang dibiarkan tanpa kawalan, kerana negara perlu memastikan pembangunan bukan sahaja pantas, tetapi adil.
Atas prinsip inilah FELDA, MARA, Bank Pembangunan dan PETRONAS diwujudkan. Jika dahulu jihad beliau ialah pembasmian kemiskinan dan pembangunan luar bandar, hari ini cabarannya ialah ketidaksamaan dalam bandar dan kos sara hidup.
Penekanan terhadap pelaksanaan
Satu lagi ciri utama kepimpinan Tun Razak ialah penekanannya terhadap pelaksanaan. Beliau sedar bahawa dasar yang baik tidak bermakna tanpa pelaksanaan yang tegas dan berdisiplin.
Melalui sistem Buku Merah, setiap projek dipantau dengan teliti, daripada peringkat kampung hingga ke Pejabat Perdana Menteri. Kepimpinan, bagi beliau, bukan sekadar memberi arahan, tetapi memastikan hasil benar-benar tercapai.
Beliau juga amat menitikberatkan pemilihan dan pembangunan bakat. Beliau menumpukan perhatian kepada bakat yang berkeupayaan, memberikan tanggungjawab sebenar serta ruang untuk bertindak, sambil menetapkan garis yang jelas tentang prestasi dan integriti.
Institusi penting, tetapi manusia lebih penting. Pembinaan negara memerlukan pemimpin yang sanggup memberi perhatian berterusan kepada sistem, pasukan dan penyampaian.
Integriti jadi garis pemisah antara awam dan peribadi
Integriti menjadi garis pemisah yang jelas antara kepentingan awam dan peribadi. Banyak kisah diceritakan tentang ketelitian beliau dalam hal ini, daripada menegur seorang pembantu yang tersalah menuntut perbelanjaan peribadi, hinggalah memindahkan rombongan rasmi ke hotel yang lebih sederhana selepas meneliti kos semasa lawatan ke Switzerland.
Kisah-kisah ini mungkin kelihatan kecil, tetapi ia mencerminkan prinsip besar.
Untuk memastikan nilai-nilai ini terus relevan, kita perlu memahami bagaimana ia diamalkan, bukan sekadar mengagungkannya.
Langkah utama Yayasan
Ulang tahun ke-50 ini memberi peluang kepada Yayasan Tun Razak untuk menilai semula pendekatan kami. Kami mahu memastikan program-program Yayasan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat Malaysia dalam dunia yang kian berubah.
Antara langkah utama Yayasan ialah memperkukuh program kepimpinan belia TRF LEAP, yang telah melahirkan lebih 1,300 alumni sepanjang tiga dekad lalu.
Kami juga mahu membuka ruang yang lebih luas untuk orang ramai mempelajari kepimpinan Tun Razak secara jujur, termasuk kejayaan, keterbatasan dan juga kegagalannya.
Tujuannya bukan untuk perbahasan akademik, tetapi untuk membentuk pemimpin yang praktikal dan bertanggungjawab. Kami menterjemah legasi ini ke dalam kerangka semasa, yang melatih pemimpin memahami sistem yang rumit, membuat keputusan bermoral dalam tekanan yang bersaing, dan melaksanakan dasar dengan disiplin.
Sempena ulang tahun ke-50 ini, marilah kita melangkaui peringatan-peringatan seperti nama-nama jalan dan bangunan.
Penghormatan terbesar kepada Tun Razak ialah menggunakan warisannya untuk membina pemimpin yang berani, rendah diri, berempati, pragmatik, serta komited kepada perundingan dan pelaksanaan. Atas semangat ini, Yayasan Tun Razak kini bergerak daripada bukan sekadar memperingati tetapi pemupukan.
-- BERNAMA
Tan Sri Nazir Razak ialah anak kepada Allahyarham Tun Razak Hussein dan tokoh korporat.