NOTA KAMPUS

LALUAN TVET PERAKAUNAN WAJAR DIPERKASA

27/01/2026 10:55 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh Zuhaila Anida Zainal Abidin dan Prof Madya Dr Lutfan Jaes

Secara umumnya bidang perakaunan di Malaysia boleh dikelaskan sebagai Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) apabila latihan yang ditawarkan di peringkat rendah (sijil dan diploma) bersifat teknikal, praktikal dan berorientasikan keperluan industri.

Pelajar didedahkan latihan kemahiran amali seperti simpan kira dan penyediaan penyata kewangan. Ia sekali gus memenuhi keperluan perjawatan seperti penolong akauntan atau pembantu akauntan.

Beberapa semakan yang dilakukan seperti di portal rasmi Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknik Vokasional Kementerian Pendidikan Malaysia, portal rasmi TVET Madani dan portal rasmi Malaysian Institute of TVET Educators secara jelas menawarkan program-program sedemikian.

Ada usaha yang bersungguh-sungguh di peringkat Sijil Kemahiran Malaysia (SKM3) dan Diploma.

Automasi dan Pendigitalan

Namun secara realitinya, cabaran yang dihadapi lulusan perakaunan semakin dinamik.

Seorang penolong akauntan atau pembantu akauntan bukan lagi berperanan melakukan kerja rencam mengurus rekod dan dokumen semata-mata.

Banyak tugasan tradisional melibatkan kemasukan data telah diambil alih sistem atau perisian di pasaran yang memproses lebih tepat, cepat dan produktif.

Lantaran pada era ini tuntutan dan peranan penolong akauntan atau pembantu akauntan sepatutnya telah berubah dan berada dalam situasi ‘next level’.

Mereka perlu menjadi penyedia, penasihat dan pembekal maklumat asas kepada pimpinan bagi memudahkan proses membuat keputusan.

Automasi dan pendigitalan telah menyebabkan asas pekerjaan mereka dalam bidang perakaunan berubah dan memerlukan justifikasi semula.

Majikan kini mula mencari penolong akauntan atau pembantu akauntan yang dapat memberi nilai tambah berbanding sekadar sebagai ‘bookkeeper’.

Pengetahuan dan kemahiran kewangan berasaskan sistem, analisis data, berfikir kritikal, kawalan dalaman, pengurusan risiko dan pengetahuan digital kini telah menjadi justifikasi kompetitif bersama warga lulusan perakaunan.

Perakaunan Sebagai TVET

Berdasarkan pemerhatian umum di laman sesawang, bidang perakaunan akan memenuhi prinsip TVET apabila kurikulum latihan difokuskan kepada kemahiran praktikal, operasi dan sistem kewangan sebenar sesebuah organisasi.

Sekali gus perakaunan dilihat bukan TVET secara mutlak tetapi bidang hibrid secara rentas.

Dalam kata lain pengelasan TVET bagi bidang perakaunan adalah berasaskan pendekatan latihan.

Program TVET perakaunan pada masa kini dilihat mengisi jurang ‘middle-skill accounting workforce’.

Sekali gus menyokong TVET arus perdana Ekonomi MADANI yang mengharapkan kecekapan, integriti dan produktiviti. TVET perakaunan ialah pemangkin kepada tadbir urus kewangan mampan di peringkat akar umbi ekonomi.

Oleh yang demikian, permintaan dilihat semakin meningkat untuk ‘warga perakaunan’ pelbagai peringkat yang boleh memainkan peranan baharu.

Sudah tiba masanya ada usaha untuk mengangkat dan mengukuhkan bidang perakaunan dalam kerangka TVET di Malaysia.

Cabaran utamanya mungkin bagaimanakah TVET perakaunan boleh diiktiraf di peringkat sarjana muda tanpa menjejaskan Sarjana Muda Perakaunan (Bachelor of Accounting) sedia ada?

Ia sepatutnya tidak bersaing.

Ini sekali gus memberikan laluan yang jelas kepada pemegang sijil dan diploma TVET (berasaskan perakaunan) ke tahap ijazah sarjana muda.

Menukar Paradigma Ijazah TVET

Mungkin yang lebih tepat adalah usaha untuk memposisikan mereka ke ijazah teknologi atau ijazah profesional teknikal.

Ia boleh dijustifikasikan sebagai ‘Sarjana Muda Teknologi Perakaunan’ atau ‘Perakaunan Gunaan’. Ia penting untuk membezakan dan mengelakkan konflik peranan bersama-sama badan profesional (contoh CIMA, ACCA, CPA dan MICPA).

Pengiktirafan TVET perakaunan di peringkat sarjana muda bukan bertujuan melahirkan akauntan profesional, tetapi tenaga teknologi perakaunan yang kompeten, berkemahiran tinggi dan bersedia industri, selaras dengan keperluan ekonomi sebenar negara.

Reka bentuk serta pembangunan program harus menekankan nisbah amali industri yang tinggi. Penekanan Work-Based Learning (WBL) pastinya merupakan identiti paling dominan.

Pensijilan profesional yang diiktiraf industri perlu dimasukkan secara rasmi dalam struktur kurikulum. Ia tidak boleh diambil secara berasingan atau sekadar sukarela.

Pelajar dilatih, dinilai dan diperakui sebagai sebahagian daripada syarat pengijazahan. Ini menjadikan sijil mereka menyediakan konsep ‘lulus dan boleh terus kerja’.

Penjajaran Dasar dan Agensi

Kejayaan pendekatan ini bergantung kepada penjajaran jelas antara Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) sebagai penjamin kualiti akademik, Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) sebagai autoriti standard kemahiran dan Majlis TVET Negara sebagai penentu hala tuju dasar nasional.

Tidak lupa juga adalah pihak industri dan jaringan universiti / politeknik dan pusat berasaskan TVET, seperti MTUN.

Agar pembangunan modal insan perakaunan dapat diselaraskan dengan keperluan ekonomi sebenar dan aspirasi pembangunan negara.

Idea tentang ‘Applied Scholarship’ harus menjadi modal besar bagi menentukan jalan sebenar TVET perakaunan ini.

Sebuah kegiatan kesarjanaan (scholarship) yang menumpukan kepada aplikasi ilmu namun menyelesaikan masalah sebenar di industri atau organisasi.

Harus mengekalkan ketelitian akademik, tetapi berpaksikan amalan (practice-oriented).

Laluan Kerjaya Jelas dan Tidak Bertindih

Negara kini memerlukan kepelbagaian bakat demi memenuhi kepelbagaian ekosistem berbeza. Usaha penambahbaikan laluan TVET perakaunan bukan bertujuan untuk bersaing tetapi melengkapi serta mengisi ruang kosong.

Graduan TVET perakaunan kelak bukanlah akauntan bertauliah tetapi mungkin dipanggil sebagai Accounting Technologist atau Pakar Operasi Kewangan (Financial Operation Specialist) dan Pegawai Kewangan PKS (SME Finance Officer).

Kesimpulannya, perakaunan bukan lagi hak milik eksklusif sesuatu bidang ilmu.

Hampir semua pimpinan organisasi kini ‘terpaksa’ memahami perakaunan dan kewangan sebagai alat fundamental menguasai organisasi.

Kebolehan membaca penyata kewangan (penyata pendapatan/penyata prestasi kewangan dan penyata aliran tunai) tidak lagi dipertanggungjawabkan kepada akauntan bertauliah.

Lantaran dalam sebuah ekosistem dunia yang berubah sangat cepat, ketidakpastian, kompleks dan tidak jelas maka pendidikan tinggi harus berasimilasi mengambil tindakan cepat walaupun penuh risiko.

Usaha mengiktiraf TVET perakaunan sehingga ke peringkat sarjana muda bukan bertujuan untuk menyaingi tetapi melengkapkan ekosistem perakaunan negara.

Ia perlu pantas dilakukan dengan penyediaan sumber manusia tenaga teknologi perakaunan yang kompeten dan ‘siap industri’.

-- BERNAMA

Zuhaila Anida Zainal Abidin ialah Pengarah, Pejabat Bendahari, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.

Prof Madya. Dr Lutfan Jaes adalah Dekan ialah Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)