Kenaikan kos rawatan perubatan di Malaysia kini bukan lagi isu terpencil yang hanya dirasai pemegang polisi insurans.
Ia sudah menjadi tekanan harian kepada isi rumah, terutamanya apabila premium melonjak mendadak dalam tempoh singkat.
Data industri menunjukkan kos tuntutan perubatan meningkat lebih 50 peratus antara 2021 hingga 2023, manakala inflasi perubatan dianggarkan sekitar 15 peratus setahun, jauh mengatasi kadar inflasi umum.
Dalam bahasa mudah, kos rawatan naik lebih cepat daripada kemampuan rakyat.
Sehubungan dengan itu, kerajaan telah mengumumkan pengenalan Pelan Asas Insurans/Takaful Perubatan dan Kesihatan (MHIT) pada 22 Januari 2026 di bawah kerangka Strategi RESET.
Pelan ini dibentangkan sebagai usaha menstruktur semula pasaran insurans perubatan agar lebih mampan, mampu milik dan tidak terus membebankan pengguna.
MHIT: Pendekatan lebih Realistik dan Seimbang
Projek rintis MHIT dijangka bermula pada separuh kedua 2026, sebelum pelaksanaan penuh pada awal 2027.
Premium asas dianggarkan sekitar RM80 hingga RM120 sebulan, bergantung kepada umur dan ciri perlindungan.
Reka bentuknya menekankan disiplin kos melalui had manfaat yang munasabah, bayaran bersama, deduktibel, penggunaan rangkaian hospital terpilih serta peralihan kepada sistem bayaran berdasarkan Klasifikasi Pesakit Berdasarkan Diagnosis (DRG).
Pelaksanaan DRG yang berkesan dijangka mampu mengawal kos perubatan, meningkatkan kecekapan dan standardisasi bil perubatan.
Bagaimanapun, terdapat kemungkinan berlakunya risiko penurunan kualiti perkhidmatan akibat tekanan penjimatan kos dalam jangka masa panjang.
Secara dasarnya, MHIT merupakan satu pendekatan yang lebih realistik dan seimbang berbanding model-model terdahulu yang terlalu bergantung kepada konsep perlindungan tanpa had.
Pendekatan terdahulu sering kali dilihat kurang praktikal untuk dilaksanakan dalam persekitaran operasi sebenar kerana ia mengabaikan kekangan sumber, kos yang tinggi, serta tahap risiko sebenar yang dihadapi.
MHIT menekankan perlindungan insurans secara bersasar terhadap penyakit kritikal dan penyakit berisiko tinggi berdasarkan keperluan kesihatan sebenar, sekali gus memastikan penggunaan sumber yang lebih efisien dan mampan.
Dua Faktor Penghalang Keberkesanan MHIT
Terdapat dua isu utama yang berpotensi menjadi penghalang kepada keberkesanan pelaksanaan MHIT.
Pertama, MHIT adalah bersifat sukarela dan bergantung kepada pilihan individu.
Jika hanya golongan tertentu menyertainya, terutamanya mereka yang sudah berisiko tinggi, pelan ini berdepan risiko yang sama seperti produk insurans biasa iaitu melindungi kumpulan kecil, kos tinggi, dan kesan sistemik yang terhad.
Berdasarkan statistik, hanya 22 peratus rakyat Malaysia kini mempunyai insurans perubatan, meninggalkan majoriti populasi tanpa perlindungan yang mencukupi.
Itu sebabnya dasar seperti MHIT perlu dilihat bukan sekadar pilihan, tetapi sebagai komponen penting dalam sistem perlindungan sosial.
Dalam konteks insuran, Hukum Bilangan Besar menekankan keperluan pendedahan risiko yang besar untuk membolehkan kos kerugian dijangka akan menghampiri kos kerugian sebenar.
Ini seterusnya mengurangkan kos operasi insurans dan seterusnya premium insurans.
Kerajaan perlu melihat dengan teliti isu untuk membolehkan MHIT mencapai impak positif yang maksimum.
Sebagai contoh, kerajaan Singapura melaksanakan program MediShield Life iaitu skim insurans kesihatan asas yang melindungi semua rakyat secara menyeluruh, termasuk penduduk tetap.
MediShield Life tidak menanggung semua kos, tetapi memastikan rakyat tidak menanggung beban rawatan besar secara bersendirian.
Hasilnya, perlindungan asas lebih meluas dan kos dapat dikawal melalui disiplin pembayaran dan perkongsian tanggungjawab.
Kedua, kenaikan kos perubatan bukan hanya berpunca daripada reka bentuk insurans.
Faktor seperti penuaan penduduk, peningkatan penyakit tidak berjangkit, kos tenaga kerja perubatan, serta penggunaan teknologi dan ubat baharu yang mahal akan terus menekan kos rawatan.
Dalam keadaan ini, Pelan Asas MHIT lebih berfungsi mengurus cara kos dibiayai, bukan sepenuhnya mengawal kenaikan kos itu sendiri.
Pengukuhan penjagaan primer dan pencegahan awal seperti amalan negara OECD dapat mengurangkan tekanan perkhidmatan berkos tinggi, meningkatkan koordinasi rawatan, dan menyokong pengurusan kos perubatan jangka panjang.
MHIT, Langkah Proaktif
Di Jerman, Institute for Quality and Efficiency in Health Care (IQWiG) adalah agensi bebas yang secara saintifik menilai kualiti dan keberkesanan rawatan perubatan termasuk ubat-ubatan dan intervensi lain berdasarkan bukti klinikal.
Hasil penilaian ini digunakan oleh badan pembuat keputusan seperti Federal Joint Committee dalam menentukan liputan dan pembiayaan dalam sistem insurans kesihatan awam.
Dalam konteks penstrukturan harga serta kawalan kos melalui penilaian teknologi kesihatan, ia perlu yang mempertimbangkan manfaat klinikal dan juga analisis hubungan kos dan manfaat sebelum pembiayaan perubatan dilaksanakan secara meluas.
Hakikatnya, insurans bukan punca utama inflasi perubatan, tetapi ia sering menjadi mangsa pertama.
Apabila kos rawatan meningkat, premium turut dinaikkan; apabila premium meningkat, keyakinan pengguna pula merosot.
Kitaran ini akan berulang jika pembaharuan hanya tertumpu kepada reka bentuk pelan insurans tanpa menangani punca asas dalam sistem penyampaian kesihatan.
Pelan Asas MHIT merupakan satu langkah proaktif dan membuka ruang kepada kerajaan untuk menguji pendekatan baharu dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan yang lebih efisien dan mampan.
Keberkesanan MHIT bergantung kepada rangka sokongan yang lebih kukuh, termasuk kawalan caj rawatan asas, integrasi yang lebih baik antara sektor awam dan swasta, serta keberanian untuk mengubah struktur pasaran kesihatan di negara ini.
Pengalaman program Perlindungan Tenang harus dijadikan pengajaran agar MHIT tidak mengulangi nasib yang sama.
-- BERNAMA
Prof Madya Dr Mohd Hafizuddin Syah Bangaan Abdullah ialah Pensyarah Kewangan dan Pengurusan Risiko Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia