PENA WANITA

SYAABAN BULAN PERSEDIAAN ROHANI MENUJU RAMADAN

09/02/2026 12:45 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh Prof Madya Dr Khairul Hamimah Mohammad Jodi

Memasuki bulan Syaaban bermakna memasuki fasa penting dalam perjalanan spiritual umat Islam.

Bulan ini bukan sekadar peralihan menunggu kedatangan Ramadan, malah waktu terbaik untuk mempersiapkan diri.

Rasulullah SAW sendiri menunjukkan teladan dengan memperbanyak puasa sunnah dan amalan lain pada bulan ini.

Saydatina Aisyah meriwayatkan: “Aku tidak pernah melihat Rasulullah SAW berpuasa lebih banyak di satu bulan selain di bulan Syaaban. Beliau berpuasa hampir seluruh hari di bulan ini, kecuali beberapa hari saja.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Contoh teladan daripada Baginda ini menunjukkan bahawa Syaaban merupakan bulan yang memerlukan persiapan khusus, bukan sekadar menunggu secara pasif, namun membuat persediaan aktif untuk menyambut bulan Ramadan.

Memperbanyakkan Puasa Sunnah

Satu daripada amalan utama pada bulan Syaaban ialah berpuasa sunnah khususnya pada setiap hari Isnin dan Khamis.

Puasa sunnah memberikan kesempatan kepada kita untuk berlatih menahan diri, menguatkan tekad serta mempersiapkan mental dan fizikal bagi menghadapi puasa sebulan penuh di bulan Ramadan.

Ini dijelaskan oleh Rasulullah SAW melalui sabdanya: “Bulan Syaaban ialah bulan yang sering diabaikan manusia, ia berada antara Rejab dan Ramadan. Ia adalah bulan diangkatnya amalan kepada Allah dan aku senang amalku diangkat dalam keadaan aku berpuasa.” (Riwayat An-Nasai dan Ahmad)

Dari maksud hadis ini jelas menunjukkan bahawa Nabi SAW menekankan amalan pada bulan Syaaban akan diangkat ke langit, malah menjadi lebih istimewa apabila diiringi dengan amalan lain seperti berpuasa.

Persiapan berpuasa yang dilakukan pada bulan Syaaban bukan sekadar latihan untuk Ramadan, tetapi pembentukan watak yang berterusan.

Individu yang terbiasa berpuasa sunnah akan membawa disiplin ini ke dalam kehidupan harian mereka.

Apabila Ramadan tiba, jiwa mereka sudah siap untuk menerima berkah dan hidayah dengan lebih mendalam.

Rebut Kelebihan Nisfu Syaaban

Ketika pertengahan bulan Syaaban, terdapat satu malam yang mempunyai keistimewaan tersendiri, iaitu malam yang Allah SWT sendiri memandang kepada seluruh hamba-Nya dan mengampunkan mereka.

Rasulullah SAW bersabda: “Allah melihat kepada makhluk-Nya pada malam Nisfu Syaaban, lalu mengampunkan mereka semua.” (Riwayat al-Tirmizi, Ibn Majah dan Ahmad).

Pada malam tersebut, pintu rahmat dibuka seluas-luasnya untuk sesiapa yang mahu bertaubat kepada Tuhannya.

Persoalannya, berapa ramai antara kita yang sedar keistimewaan malam tersebut dan berapa ramai yang membiarkannya berlalu seperti malam-malam biasa yang lain?

Nisfu Syaaban bukan sekadar tarikh dalam kalendar, ia adalah undangan langsung daripada Allah SWT kepada hamba-Nya yang mungkin selama ini tersasar, lalai atau menangguhkan taubat dengan pelbagai alasan.

Justeru, malam Nisfu Syaaban adalah waktu yang tepat untuk kita berhenti sejenak dan menilai diri sendiri.

Adakah masih ada perkara yang perlu diperbetulkan? Adakah adanya hubungan yang perlu dipulihkan?

Taubat yang perlu disegerakan? Inilah masanya untuk bermuhasabah, sebelum Ramadan menjelang, selesaikan apa yang perlu diselesaikan dan bertaubatlah dengan sebenar-benar taubat.

Peluang seperti ini tidak datang dua kali dalam setahun.

Namun perlu diingat, pengampunan Allah SWT pada malam tersebut bukan diberikan kepada semua orang.

Ini dijelaskan oleh Rasulullah SAW bahawa Allah SWT mengampunkan semua hamba-Nya pada malam Nisfu Syaaban kecuali dua golongan iaitu orang yang mensyirikkan Allah dan orang yang bermusuhan sesama Muslim. (Riwayat Ibn Hibban)

Pengecualian ini memberi isyarat yang jelas, iaitu sebelum mengharapkan keampunan daripada Allah SWT, kita perlu terlebih dahulu membersihkan hati daripada syirik dan dendam.

Jika terdapat di antara kita yang tidak sehaluan kerana pendapat yang berbeza sehingga sanggup memutuskan hubungan kekeluargaan dan sahabat, maka sedarlah.

Perlu diingat, ukhuwah Islamiah tidak boleh dikorbankan atas nama perbezaan idealogi, politik dan sebagainya. Perbezaan pendapat itu fitrah, namun bermusuhan kerananya adalah pilihan.

Hormatilah perbezaan, jagalah perpaduan dan pulihkan hubungan, barulah pintu keampunan akan terbuka untuk kita.

Malam Nisfu Syaaban juga merupakan waktu yang sesuai untuk memperbanyak zikir, tahmid dan istighfar untuk memohon belas kasihan daripada Allah.

Berdoalah agar diberi kekuatan, kesihatan, hati yang lembut untuk menerima hidayah sebagai langkah menghadapi Ramadan.

Membaca al-Quran untuk mempersiapkan hati sebelum Ramadan

Selain berpuasa, membaca al-Quran pada bulan Syaaban juga merupakan amalan yang sangat dituntut.

Ibn Rajab al-Hanbali dalam kitabnya Lata'if al-Ma'arif mencatatkan bahawa para tabi'in memperbanyak bacaan al-Quran pada bulan ini sebagai persiapan rohani menjelang Ramadan.

Antara mereka ialah Salamah bin Kuhail yang menyebut Syaaban sebagai “bulan para pembaca al-Quran” dan Amr bin Qais al-Mula'i akan menutup kedainya apabila masuk Syaaban hanya untuk menumpukan masa membaca al-Quran.

Mengapa mereka bertindak sedemikian?

Ini disebabkan membaca al-Quran pada bulan Syaaban bukan sekadar mengumpul pahala, malah proses menyiapkan hati, membuka ruang dalam jiwa untuk menerima hidayah yang lebih besar apabila Ramadan menjelang.

Melalui cara ini, apabila Ramadan tiba, amalan membaca al-Quran sudah menjadi sebahagian daripada rutin harian, bukan sesuatu yang perlu dimulakan dari awal.

Membaca al-Quran pada bulan Syaaban juga melatih kita untuk lebih peka dengan makna ayat-ayat Allah.

Apabila kita sudah terbiasa membaca dan merenungi al-Quran sejak Syaaban, kita akan lebih mudah memahami dan menghayati bacaan imam ketika mendirikan solat tarawih nanti.

Persediaan Sebelum Ramadan Menjelang

Bulan Syaaban merupakan bulan yang tidak boleh disia-siakan. Apa yang kita mulakan pada Syaaban akan menentukan bagaimana kita menjalani Ramadan.

Mereka yang sudah melatih diri dengan puasa, mesra dengan Quran dan berzikir akan memasuki Ramadan dengan jiwa yang sudah bersedia.

Maka, jangan biarkan Syaaban berlalu begitu sahaja.

Rebut setiap peluang untuk memperbaiki diri dan mendekatkan hati kepada Allah SWT.

Bulan Syaaban adalah jambatan persediaan menuju puncak ibadah, maka jambatan itu perlu dilalui dengan langkah yang penuh kesedaran, bukan sekadar dilalui secara sambil lewa.

-- BERNAMA

Prof Madya Dr. Khairul Hamimah Mohammad Jodi ialah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Open Universiti Malaysia.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)