TINTA MINDA

MEMANUSIAKAN TEKNOLOGI DALAM DUNIA PENYIARAN RADIO

12/02/2026 10:35 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Dr. Husna Afifi Mohd Yusoff

Di dalam era suara boleh ditiru oleh mesin dan skrip boleh dijana oleh algoritma, persoalan besar yang wajar ditanya ialah: apakah yang masih membezakan suara radio dengan bunyi teknologi?

Hari Radio Sedunia 2026 yang diraikan setiap 13 Februari mengangkat tema ‘Radio dan Kecerdasan Buatan’ dengan slogan ‘AI ialah alat, bukan suara’.

Ini merupakan satu peringatan penting bahawa kemajuan teknologi tidak seharusnya menenggelamkan nilai kemanusiaan dalam dunia penyiaran.

Radio Hubungkan Suara Dan Emosi

Radio tidak sekadar berperanan menyampaikan maklumat. Ia membina hubungan, kepercayaan dan rasa kebersamaan.

Walaupun landskap media kini dibanjiri oleh visual dan skrin, radio kekal sebagai medium intim yang menghubungkan suara dengan emosi.

Dalam dunia penyiaran, kekuatan radio terletak pada keupayaannya ‘bercakap’ dengan pendengar secara peribadi melalui nada, kejujuran dan kepekaan terhadap konteks komuniti.

Di sinilah radio berbeza daripada medium automatik: suara manusia membawa empati, sementara teknologi hanya memproses data.

Kecerdasan Buatan (AI) kini semakin menembusi operasi radio, daripada transkripsi automatik, analisis pola pendengar, cadangan kandungan, sehinggalah penyuntingan audio yang lebih pantas.

Dalam konteks latihan dan pendidikan media, AI sering dimanfaatkan sebagai pembantu teknikal yang mempercepat proses produksi.

Ini membuka ruang kepada pengamal dan pelajar media untuk menumpukan lebih masa kepada pemikiran kreatif, perancangan kandungan dan strategi komunikasi.

Namun, kecekapan tidak boleh mengatasi nilai. AI mampu meniru suara dan menjana skrip, tetapi ia tidak memahami nuansa budaya, sensitiviti emosi pendengar, atau implikasi sosial sesuatu mesej.

Radio beroperasi dalam ruang kepercayaan awam. Apabila kandungan dijana atau dimanipulasi tanpa garis etika yang jelas, risiko maklumat palsu, manipulasi emosi dan kehilangan keaslian menjadi nyata.

Radio Kekal Relevan

Slogan ‘AI ialah alat, bukan suara’ wajar difahami sebagai prinsip asas dalam ekosistem penyiaran masa depan.

AI harus memperkasa kerja pengamal radio dari segi mempercepat penghasilan kandungan, memperluas capaian khalayak, dan meningkatkan kualiti teknikal tanpa mengambil alih peranan nurani manusia.

Suara radio perlu kekal sebagai suara yang bertanggungjawab, beretika dan berjiwa.

Peranan institusi pendidikan dan industri media menjadi semakin penting dalam membentuk pengamal radio generasi baharu yang celik teknologi serta berteraskan nilai.

Literasi AI, etika media dan kepekaan budaya perlu bergerak seiring. Teknologi boleh diajar, tetapi empati dan tanggungjawab sosial mesti dipupuk.

Hari Radio Sedunia 2026 membawa mesej bahawa kemajuan teknologi tidak seharusnya meminggirkan elemen kemanusiaan dalam komunikasi.

Radio tidak perlu takut kepada AI; yang perlu dirisaukan ialah apabila kita menyerahkan suara dan nilai kepada mesin.

Biarlah AI menjadi alat yang memperkasa, namun radio harus kekal sebagai ruang suara manusia yang jujur, berempati dan bertanggungjawab kepada masyarakat.

Dalam dunia yang semakin bising dengan data dan algoritma, radio wajar kekal sebagai ruang yang sunyi untuk didengar.

Di celah gelombang frekuensi, biarlah masih ada getar kejujuran, jeda empati dan nafas tanggungjawab.

Mesin boleh membantu kita bercakap dengan lebih pantas, tetapi hanya manusia mampu memilih kata yang tidak melukakan, menyusun nada yang menenangkan, dan menyampaikan cerita yang memanusiakan.

--BERNAMA

Dr. Husna Afifi Mohd Yusoff, Pensyarah Kanan, Fakulti Perniagaan & Komunikasi, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan bekas pengamal media di Bernama Radio dan Radio Televisyen Malaysia (RTM)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)