TINTA MINDA

TIBI BUKAN PENYAKIT LAMPAU

19/02/2026 06:58 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh Prof Madya Dr Mohd Dzulkhairi Mohd Rani

Walaupun sering dianggap sebagai penyakit lampau yang sudah berlalu, tuberkulosis (Tibi) kekal sebagai ancaman kesihatan awam di Malaysia ketika ini. Pandangan ini bukan sekadar teori, tetapi ditunjukkan melalui laporan terkini kluster aktif yang masih berlaku di pelbagai negeri, termasuk laporan rasmi bahawa 10 kluster Tibi aktif telah dikesan pada tahun 2026 setakat awal Februari di beberapa negeri termasuk Selangor, Johor, Kedah, Kelantan, Pahang, Perlis dan Sabah.

Kekeliruan persepsi

Kajian dan pemerhatian menunjukkan bahawa ramai rakyat Malaysia masih mempercayai bahawa Tibi adalah penyakit masa lalu. Persepsi ini menyumbang kepada kelewatan individu mendapatkan rawatan apabila mengalami gejala awal seperti batuk berpanjangan, keringat malam atau penurunan berat badan. Kesedaran awam yang rendah ini menjadi salah satu punca jurang pengesanan awal, sekali gus memberi peluang kepada penyakit ini untuk terus menular tanpa disedari.

Faktor sosioekonomi

Selain persepsi masyarakat, faktor sosioekonomi turut memainkan peranan penting dalam dinamik jangkitan Tibi. Kepadatan tempat tinggal, keadaan perumahan yang tidak kondusif, mobiliti tinggi dalam kawasan bandar, tabiat merokok serta peningkatan kadar penyakit kronik seperti diabetes dan obesiti menyumbang terhadap meningkatnya risiko jangkitan dan penularan. Tempat kerja serta ruang kerja bertutup dengan pengudaraan yang lemah juga meningkatkan risiko jangkitan.

Ini bermaksud cabaran Tibi bukan hanya pada tahap kesihatan awam seperti pencegahan penyakit dan kejayaan rawatan, tetapi juga memerlukan penyelesaian sosial demi peningkatan kesejahteraan masyarakat.

Pentingnya pendidikan kesihatan awam dan penglibatan komuniti

Mengubah persepsi masyarakat adalah kunci utama dalam usaha membendung penularan Tibi. Pendidikan kesihatan berfokus kepada pendekatan yang mudah difahami, relevan dengan kehidupan harian dengan bersasar kepada komuniti berisiko tinggi.

Komuniti tempatan boleh memainkan peranan utama di barisan hadapan dalam pengesanan awal kes. Ketua komuniti, NGO, pemimpin agama dan pendidik boleh membantu menyampaikan informasi yang tepat, mengurangkan stigma serta menggalakkan individu bergejala untuk mendapatkan saringan segera. Pendekatan ini penting kerana orang sekeliling sering menyedari perubahan kepada seseorang individu sebelum individu itu sendiri sedar perlunya rawatan. Ramai tersalah anggap bahawa TB semestinya mempunyai gejala batuk berdarah atau batuk yang kering, namun, batuk berpanjangan dan tidak dapat dilegakan dengan ubat dibeli daripada kedai runcit atau farmasi juga adalah tanda amaran.

Cabaran Terbesar: Tibi laten

Salah satu halangan terbesar dalam usaha kawalan Tibi ialah masalah Tibi laten — apabila seseorang dijangkiti tetapi tidak menunjukkan simptom. Individu seperti ini boleh menjadi pembawa senyap. Jangkitan berpotensi untuk menjadi aktif apabila sistem imun individu berkurangan disebabkan oleh masalah penyakit termasuk diabetes, kanser dan HIV. Oleh itu, strategi kawalan iaitu pengesanan kes aktif melibatkan aktiviti saringan kontak rapat, terutama dalam kalangan keluarga dan tempat tinggal dan ruang kerja yang sama. Pendekatan kaunseling juga berkesan untuk menjelaskan risiko ini kepada masyarakat khususnya golongan sasar.

Peranan Teknologi Dalam Menangani Tibi

Teknologi moden seperti kecerdasan buatan (AI) dalam pembacaan X-ray, analitik data besar untuk pemetaan kawasan berisiko tinggi, serta aplikasi mudah alih untuk pemantauan rawatan dapat memperkukuh usaha pengesanan awal, langkah kawalan dan pencegahan. Teknologi ini bukan menggantikan peranan profesional kesihatan tetapi menyokong mereka dalam membuat keputusan lebih cepat dan tepat.

Senario Masa Hadapan

Jika Tibi tidak dikawal dengan efisien, Malaysia berisiko menghadapi peningkatan kluster penularan dan meningkatkan beban ekonomi kepada keluarga akibat pengurusan penyakit yang panjang. Kemungkinan peningkatan kes Tibi rintang ubat, yang memerlukan rawatan lebih kompleks dan mahal juga akan berlaku. Oleh itu, pendekatan bersepadu yang melibatkan sektor kesihatan, masyarakat dan kerajaan amat penting.

Tibi bukan sekadar penyakit yang menjadi sejarah. Penyakit ini masih wujud dan menjadi ancaman nyata hari ini — seperti dibuktikan oleh kluster aktif yang sedang dipantau di seluruh negara. Pendidikan kesihatan, pengesanan kontak, sokongan komuniti serta penggunaan teknologi adalah elemen penting dalam usaha membendung penularannya.

Kunci utama kejayaan ialah bertindak awal, bersikap konsisten dan bekerjasama dalam kawalan dan pencegahan penyakit. Amat rugi sekiranya pencegahan dan rawatan awal tidak dilakukan kerana penyakit ini mampu sembuh dan rantaian jangkitan diputuskan.

-- BERNAMA

Dr Mohd Dzulkhairi Mohd Rani ialah Prof Madya Perubatan dan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)