TINTA MINDA

JAUHI PENYAKIT HASAD DENGKI PEROSAK HATI

30/03/2026 08:17 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Norazlinda Mohammad

Umumnya, kita sebagai manusia tidak lepas daripada diuji, diburu kenangan yang sedia ada, silam, manis dan pahit di dalam kehidupan.

Namun sebagai manusia, kita harus sentiasa sabar dan tabah menerima ujian atau ketentuan takdir kerana ia akan membuat kita semakin dewasa, matang, berani, bangkit dari rasa sedih serta cekal di dalam melayari kehidupan.

Hidup umpama roda adakalanya kita berada di atas dan di bawah.

Sudah pasti kita pernah melalui fasa kekecewaan dan hampa dikhianati oleh orang terdekat, orang yang kita percayai atau ditikam belakang oleh musuh.

Ia berasal dari pandangan mata dan terbit secara perlahan-lahan umpama virus.

Natijahnya, perasaan hasad dan dengki atau iri hati akan berakar umbi dek kerana jiwa yang kacau dan tidak puas hati dengan keistimewaan, kelebihan seseorang itu miliki, kejayaan yang dikecapi melebihi dari individu yang berperasaan sebegitu.

Kelebihan kecantikan, pengaruh, material atau personaliti yang disenangi oleh orang ramai juga boleh menjadi punca kepada berakarnya serta merebak penyakit hati.

Bahayanya Sifat Hasad Dengki

Dengki atau iri hati merupakan penyakit hati yang sangat bahaya dan dikhuatiri boleh menyebabkan perilaku atau tindakan negatif yang mengakibatkan kerugian, kemusnahan bukan sahaja kepada mangsa tetapi juga kepada pelaku.

Sifat ini sewajarnya ditegah, dihindari kerana ia memberi kesan yang buruk iaitu merosakkan kehormonian, kesejahteraan jalinan hubungan ukhwah atau silaturrahim sesama manusia.

Sekiranya ada sekelumit perasaan hasad dengki seharusnya dipadam sebelum ia makin membarah dan membuat individu tersebut bertindak di luar kawal.

Orang yang iri hati ini lazimnya merasa terganggu emosinya dengan melihat keberhasilan orang lain.

Akibat perasaan hasad dengki ini menyukarkan mereka untuk memberi pujian, apresiasi atau penghargaan kepada pencapaian orang di sekitarnya.

Malah mereka juga tidak malu untuk memberi komentar negatif atau kritikan kepada individu yang mereka lihat mencabar keupayaan diri.

Selain itu, orang yang iri hati ini bukan sahaja tidak suka mempamerkan sifat ihsan atau kasih sayang tetapi sukar memberi sokongan atau meraikan kejayaan atas pencapaian atau nikmat yang diraih oleh orang lain.

Sesuatu yang menyedihkan, golongan ini sememangya tidak mesyukuri nikmat yang diberikan ALLAH SWT, sentiasa merungut dan membandingkan diri dengan individu yang mereka iri hati serta cuba untuk menjatuhkan orang tersebut dengan menabur fitnah bagi menghancurkan imej, reputasi atau menabur pasir di periuk nasi individu terbabit.

Sesungguhnya, fitnah itu lebih kejam dari membunuh, hatta perbuatan memfitnah dan mereka-reka cerita negatif amat ditegah dalam Islam.

Perlakuan keji dan manipulatif ini seharusnya ditolak kerana ia mengikut nafsu dan dorongan, bisikan syaitan hanya untuk melihat nikmat atau kejayaan yang diraih oleh individu itu lenyap atau musnah sama sekali.

Kecenderungan bersikap Tidak Jujur dan Manipulatif

Usah tertipu dengan orang yang ada hasad, bersikap dingin tiba-tiba menjadi ramah hanya kerana ingin merisik khabar tanpa rasa tulus ikhlas di dalam perhubungan.

Ini merupakan taktik ingin mengetahui dan cuba bersaing dengan cara yang tidak sihat, meniru gaya, idea atau tindakan tanpa ada identiti sendiri.

Mereka tidak akan ada rasa bersalah di hati sanubari mereka. Ketidakjujuran di dalam perhubungan merupakan topeng pelindung mereka.

Golongan ini akan sentiasa merasa gelisah, susah hati, tidak tenang bahkan sibuk mencampuri urusan orang lain dan cuba mencari jalan, merobek privasi kehidupan orang yang mereka dengki kerana hati mereka tidak suka melihat individu itu unggul, berjaya dan lebih kehadapan darinya.

Kritikan yang dibuat seharusnya berbentuk kritikan yang membina bukan membunuh semangat seseorang yang sedang berjuang dalam kehidupan.

Ironinya, orang yang bersifat hasad dengki suka melontarkan kritikan negatif dan merendahkan orang lain.

Perosak Hati Manusia

Islam mengajarkan umatnya untuk menjauhi sifat iri hati dan dengki kerana sifat ini sangat merugikan dan tergolong dalam sifat mazmumah.

Ia bukan sahaja memecah belah masyarakat, merosak hubungan silaturrahim dan kesejahteraan ukhwah sesama manusia (insan) tetapi juga menimbulkan dosa kepada pelakunya.

Dalam Al-Qur'an, Allah SWT berfirman:

"Dan janganlah kamu iri hati terhadap apa yang dikurniakan Allah kepada sebahagian kamu lebih banyak dari sebahagian yang lain." (QS. An-Nisa: 32)

Iri hati juga disebutkan dalam beberapa hadis, seperti sabda Rasulullah SAW:

"Janganlah kalian saling mendengki, saling membenci, saling berpaling, dan janganlah sebahagian dari kalian menjual barang yang sudah dibeli orang lain. Jadilah kalian hamba-hamba Allah yang bersaudara." (HR. Bukhari dan Muslim)

Kaedah Penyelesaian

Disarankan setiap umat Islam sentiasa beringat, muhasabah diri, bersikap positif dan membersihkan hatinya daripada sifat iri hati dan hasad dengki.

Manusia perlu tanam sifat ihsan, belajar berkasih sayang dan sentiasa bersyukur atas nikmat dan rezeki yang dikurniakan oleh ALLAH SWT.

Ibrahnya; sikap tidak bersyukur merupakan perilaku yang ditegah kerana ia adalah kufur nikmat.

Kita juga harus berwaspada, mempertingkatkan kesedaran, keimanan, ketakwaan, tetapkan niat yang baik serta kembali kepada ajaran asal Al-Quran dan Al-Sunnah sebagai pegangan hidup.

Sentiasa menjaga iman dan takwa kepada ALLAH SWT kerana beliau maha pemurah, penyayang dan memberi limpahan rezeki kepada semua manusia.

Kerap mengamalkan doa berlindung dari sifat dan hawa nafsu yang buruk agar ALLAH SWT melindungi kita dari bahaya penyakit hati, termasuk iri hati, hasad dan dengki.

Doa tersebut termaktub dalam hadis Rasul:

“Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari akhlak, amal, dan hawa nafsu yang buruk”. (HR. Tirmidzi, no. 3591)

Tuntasnya, setiap insan sewajarnya menghindari hasad dengki kerana ia merupakan penyakit hati yang sangat mudarat di dalam masyarakat tidak mengira di dalam institusi kekeluargaan dan kelompok masyarakat.

Noktahkan permusuhan atau rasa tidak puas hati dengan kelebihan nikmat atau kejayaan orang lain.

Sebagai seorang muslimin dan muslimat, kita perlu membina peradaban yang unggul, hati yang bersih, saling menyokong antara satu sama lain, berkasih sayang tanpa ada perasaan iri hati kepada orang lain.

Ia sejajar dengan gagasan Malaysia MADANI iaitu menyemai sifat ihsan, saling hormat serta meningkatkan keyakinan tanpa perasaan curiga kepada orang lain bagi membina ukhwah yang sejahtera, bahagia dan perhubungan yang mampan untuk persediaan ukhrawi yang bakal menanti.

“Tidak akan rugi orang yang bersifat baik budi; dan tidak akan beruntung orang bersifat hasad dengki”

-- BERNAMA

Norazlinda Mohammad ialah Pensyarah Kanan bidang Kewartawanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)