WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MALAYSIA MANTAPKAN PERSIAPAN MENJELANG KEPENGERUSIAN ASEAN 2025 - KSN

17/11/2024 10:16 AM

Oleh Nurul Hanis Izmir

PUTRAJAYA, 17 Nov (Bernama) -- Malaysia giat membuat persiapan rapi sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dengan fokus kepada kesiapsiagaan penuh dalam aspek logistik, keselamatan, kebersihan, takwim mesyuarat, pengurusan acara dan dokumentasi.

Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata komitmen setiap agensi kerajaan amat diperlukan bagi memastikan kelancaran pelaksanaan sepanjang tempoh setahun Kepengerusian ASEAN yang bakal menjadi pencapaian penting negara.

“Saya tegaskan kesiapsiagaan urusan logistik, soal keselamatan, kebersihan, takwim mesyuarat, pengurusan acara, substantif program dan segala dokumentasi bagi Kepengerusian ASEAN 2025 perlu menjadi keutamaan.

“Semua agensi kerajaan perlu memainkan peranan penting dan jangan sekali-kali ambil mudah atau pandang enteng dalam persiapan logistik dan pengurusan acara," katanya kepada Bernama menerusi wawancara khas bersempena 100 hari pelantikannya sebagai KSN ke-16, yang jatuh pada 19 Nov ini.

Shamsul Azri berkata kerajaan telah menyenaraikan pelbagai aspek utama bagi memastikan Malaysia bersedia sepenuhnya untuk mengehoskan lebih 300 mesyuarat, program dan sidang kemuncak ASEAN pada 2025.

Malaysia akan mengambil alih kepengerusian ASEAN secara rasmi pada 1 Jan 2025, iaitu negara dijangka memainkan peranan utama dalam pelbagai inisiatif di bawah tema Keterangkuman dan Kemampanan.

Tema ini akan menyokong tiga tonggak utama ASEAN, iaitu Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC), Komuniti Politik Keselamatan ASEAN (APSC), dan Komuniti Sosio-Budaya ASEAN (ASCC).

Beliau juga menegaskan keperluan untuk menjalinkan kerjasama strategik antara agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) serta pihak swasta.

“Kerjasama ini penting bukan sahaja untuk berkongsi sumber dan penggunaan kemudahan, tetapi juga untuk mempromosikan syarikat tempatan di peringkat ASEAN dan antarabangsa.

“Kita tidak boleh kompromi isu keselamatan, kebersihan, kesesakan lalu lintas dan penyediaan kemudahan awam kerana sekelumit kesilapan atau kealpaan akan memberi impak dan menjejaskan imej negara,” katanya.

Pada masa sama, Shamsul Azri menekankan bahawa pelaksanaan kepengerusian ASEAN ini akan menjadi peluang untuk mengoptimumkan manfaat ekonomi bagi negara.

“Kita juga akan cuba untuk mendapatkan sebanyak mungkin peluang ekonomi untuk negara. Sebagai tuan rumah, banyak yang akan kita laksanakan terutama dalam bidang teknologi kecerdasan buatan (AI), tenaga boleh diperbaharui, pelancongan dan perubatan,” katanya.

Shamsul Azri berkata adalah penting bagi Malaysia untuk memastikan setiap pelaburan kerajaan dan sektor swasta mencapai pulangan nilai yang optimum, atau return on investment (ROI), demi kemajuan bersama ASEAN dan Malaysia sebagai Pengerusi.

“Saya seru semua pihak agar terus komited dalam memastikan kejayaan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025, sekali gus mengukuhkan kedudukan negara di persada antarabangsa,” katanya.

Malaysia telah memegang tampuk kepengerusian ASEAN pada tahun 1977, 1997, 2005, dan 2015, yang menyaksikan setiap kali kepengerusian dijalankan, Malaysia memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan kerjasama serantau dan mempertingkatkan integrasi ekonomi ASEAN.

-- BERNAMA


 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan