WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MOT SEDIA TELITI KEPERLUAN BAIK PULIH JAJARAN PERKHIDMATAN KERETA API DI PANTAI TIMUR

18/11/2024 08:23 PM

KUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) -- Kementerian Pengangkutan (MOT) bersedia untuk meneliti keperluan membaik pulih dan kebolehlaksanaan jajaran perkhidmatan kereta api di pintu masuk utama Pantai Timur di Rantau Panjang-Pekan Golok.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah berkata proses membaik pulih perkhidmatan kereta api antara Rantau Panjang dan Pasir Mas itu perlu mengambil kira peruntukan kewangan, impak alam sekitar, sosial, ekonomi dan pelbagai perkara lain.

Beliau berkata laluan kereta api Pasir Mas-Rantau Panjang sepanjang 18.7 kilometer yang menghubungkan Malaysia dan Thailand itu telah ditutup sejak tahun 1982 bagi perkhidmatan penumpang, manakala perkhidmatan kargo ditutup pada 2006 atas faktor keselamatan dan kesan daripada banjir besar yang telah berlaku.

“Semenjak itu, laluan kereta api ini telah ditutup sepenuhnya dan keadaan infrastruktur termasuk stesen Rantau Panjang agak uzur dan memerlukan pemuliharaan, penyelenggaraan dan naik taraf sebelum boleh dioperasikan semula,” katanya pada sesi Kamar Khas persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Hasbi menjawab usul yang dikemukakan Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) mengenai keperluan membuka semula perkhidmatan kereta api di pintu masuk utama Pantai Timur di Rantau Panjang-Pekan Golok, bagi merancakkan ekonomi setempat, memperkukuhkan hubungan antara kedua-dua negara dan meningkatkan aktiviti perdagangan di kawasan sempadan.

Ahli Parlimen Limbang itu berkata kerajaan mengambil maklum dengan cadangan pemuliharaan itu yang dilihat mampu meningkatkan aksesibiliti dan merancakkan ekonomi antara Malaysia dan Thailand

“Projek sebegini sekiranya dibaik pulih bukan sahaja dapat merancakkan ekonomi setempat tetapi juga dapat memperkukuhkan hubungan antara kedua-dua negara dan meningkatkan aktiviti perdagangan di kawasan sempadan,” katanya.

Pada masa sama, Hasbi berkata MOT turut meneliti cadangan kebolehlaksanaan untuk menyambung jajaran Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang berakhir di Tunjong, Kota Bharu dengan Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Pasir Mas.

Beliau berkata penyambungan itu akan menjadikan ECRL lebih berkesan sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi di Pantai Timur dan seterusnya dapat merapatkan jurang ekonomi dengan Pantai Barat Semenanjung Malaysia, selain akan menyediakan pilihan yang lebih mudah dan penjimatan kos untuk pengangkutan barang dan perjalanan penumpang antara Malaysia dan Thailand.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan