WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MBSP BELUM TERIMA PERMOHONAN PEMBINAAN PROJEK ASRAMA PEKERJA ASING DI JURU

18/11/2024 09:19 PM

GEORGE TOWN, 18 Nov (Bernama) -- Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) belum menerima sebarang permohonan daripada pemaju berhubung cadangan pembinaan projek asrama pekerja asing di atas lot 10333, 10334 dan 10335 Mukim 12 di Juru, Bukit Mertajam dekat sini yang dibantah penduduk di situ.

MBSP dalam kenyataan hari ini memaklumkan pemaju projek itu masih di dalam peringkat penyediaan Laporan Penilaian Impak Sosial (SIA) dan sedang mendapatkan maklum balas daripada penduduk di sekitar tapak cadangan.

"Melalui maklumat yang diperolehi daripada pihak perunding, pemaju projek itu dalam peringkat penyediaan SIA, dan  MBSP belum menerima apa-apa  permohonan bagi cadangan projek berkenaan.

"Sehubungan itu sebarang bantahan terhadap pembangunan tersebut pada masa kini hendaklah dikemukakan terus kepada pihak perunding yang menjalankan kajian SIA dan PLANMalaysia Negeri Pulau Pinang selaku urusetia Laporan SIA," menurut kenyataan itu.

Media sebelum ini melaporkan lebih 200 penduduk Juru di sini berkumpul meminta Kerajaan Negeri Pulau Pinang membatalkan pembinaan dua projek asrama pekerja asing di kawasan Juru, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Bantahan Pembina­an Asrama Warga Asing di Juru Wahid Othman dilaporkan berkata pelbagai faktor menyumbang kepada kebimbangan pendu­duk susulan kawasan tersebut kini sudah dipenuhi warga a­sing walaupun projek itu belum dilaksanakan.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan