WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PANGKALAN HARAM SG GOLOK: PENDUDUK MOHON KELONGGARAN UNTUK PELAJAR SEKOLAH

19/11/2024 02:52 PM

Oleh Muhammad Afiq Mohd Asri

PASIR MAS, 19 Nov (Bernama) -- Keputusan pihak berkuasa Malaysia untuk menahan mana-mana rakyat Malaysia yang menggunakan laluan pangkalan haram untuk menyeberangi sempadan Malaysia-Thailand khususnya di sepanjang Sungai Golok menggusarkan penduduk berhampiran sungai itu tentang pendidikan anak-anak mereka.

Ramai rakyat Thailand dan Malaysia di Sungai Golok, Thailand yang anak mereka bersekolah di Rantau Panjang bimbang sekiranya murid terlibat tidak lagi dibenarkan menggunakan pangkalan itu, ia akan memberi kesan kepada persekolahan mereka.

Sehubungan itu, penduduk berharap pihak berkuasa Malaysia dapat mempertimbangkan memberi kelonggaran buat anak-anak yang bersekolah di sekitar Rantau Panjang untuk merentasi pangkalan haram di Sungai Golok bagi membolehkan mereka hadir di sekolah.

Ishak Ghazali, 61, rakyat Malaysia yang menetap di Sungai Golok puluhan tahun sejak kecil, berkata keluarganya telah memasuki tiga generasi bersekolah di Rantau Panjang sehinggalah anak dan cucunya.

"Saya rakyat Malaysia. Apabila pengumuman polis mengenai rakyat Malaysia akan ditahan mulai 1 Dis kerana bebas keluar masuk melalui pangkalan haram ia sedikit menggusarkan saya kerana ramai anak penduduk di sini menggunakan laluan itu untuk ke sekolah di Rantau Panjang," katanya kepada Bernama ketika ditemui di Sungai Golok hari ini.

Semalam, Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat dilaporkan berkata polis akan mula menggunakan Seksyen 5 (2) Akta Imigresen 1959/1963 untuk menahan rakyat Malaysia yang pergi ke Thailand menggunakan jalan tidak diwartakan bermula 1 Dis ini.

Ishak berharap agar pihak polis memberikan kelonggaran untuk pelajar sekolah menggunakan laluan biasa kerana ia merupakan laluan terdekat.

"Jika pihak berkuasa meminta pelajar sekolah menggunakan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang ia agak sukar kerana tidak semua penduduk mempunyai kenderaan kerana ada yang menetap jauh dari ICQS," katanya.

Tinjauan Bernama sekitar 6.45 pagi (waktu Thailand) hari ini mendapati pelajar sekolah rendah dan menengah mula menaiki perahu dari Sungai Golok untuk ke Rantau Panjang bagi memulakan sesi persekolahan pagi.

Pelajar sekolah dikenakan caj sebanyak RM1 untuk perkhidmatan menaiki perahu ke Rantau Panjang dan ia telah menjadi kebiasaan penduduk di kawasan berkenaan sejak sekian lama.

Perkhidmatan penghantaran pelajar sekolah menggunakan perahu dijalankan dua kali sehari iaitu bermula 6.30 pagi (waktu tempatan Thailand) untuk menghantar pelajar sekolah dan pukul 2 petang (waktu tempatan Malaysia) pelajar pulang dari Rantau Panjang untuk ke Pekan Golok.

Senada dengan Ishak, Abdullah Abu Bakar, 64, berkata pergerakan rentas sempadan seperti itu telah menjadi kebiasaan buat masyarakat di Sungai Golok dengan kebanyakan anak-anak bersekolah di Rantau Panjang.

"Saya tiada masalah dalam hal ini, cuma minta pihak berkuasa Malaysia memberikan kelonggaran kepada pelajar-pelajar sekolah untuk merentasi Sungai Golok. Jika sebelum ini, mereka (pelajar sekolah) menggunakan laluan kompleks ICQS untuk ke sekolah dengan pas sempadan yang dicap sebulan sekali bagi keluar masuk Malaysia-Thailand tetapi ia tidak dilaksanakan lagi," katanya.

Abdullah berharap agar pihak berkuasa Malaysia mempertimbangkan kembali penggunaan pas sempadan untuk pelajar sekolah yang dicap sebulan sekali.

"Ada juga rakyat Malaysia yang menetap di Sungai Golok kerana berkahwin dengan orang tempatan dan anak mereka bersekolah di Rantau Panjang.

"Saya berharap pihak Kerajaan Thailand dan Malaysia mempermudahkan urusan persekolahan anak-anak kami kerana kami tidak mahu anak-anak kami tercicir dalam pendidikan," kata lelaki warga Thailand yang berkahwin dengan rakyat Malaysia itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan