WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SELANGOR KENAL PASTI MEKANISME SESUAI BANGUN DASAR PASARAN KARBON

20/11/2024 12:59 PM

SHAH ALAM, 20 Nov (Bernama) -- Kerajaan Selangor sedang mengenal pasti kaedah dan mekanisme yang sesuai untuk membangunkan dasar berkaitan pasaran karbon di negeri itu, kata Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata inisiatif penting dalam menilai pelepasan gas rumah hijau dan merangka strategi pengurangannya itu sedang diteliti Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Perubahan Iklim dan Teknologi Hijau yang seterusnya akan menghasilkan garis panduan strategik terhadap pasaran karbon di Selangor.

"Proses ini dijangka dilaksanakan tahun hadapan dengan kerjasama Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam serta Malaysian Forest Fund (MFF) yang akan membantu menyelaras dalam menyediakan laporan serta resolusi pelan tindakan yang perlu diambil oleh kerajaan negeri," katanya. 

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Michelle Ng Mei Sze (PH-Subang Jaya) yang ingin tahu kemajuan garis panduan pengiraan kredit karbon negeri, pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Dalam pada itu, Amirudin berkata kerajaan negeri melalui Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) dengan kerjasama syarikat swasta juga dalam peringkat awal melaksanakan projek rintis kredit karbon di Hutan Simpan Kekal Raja Lumu dan Hutan Simpan Kekal Pulau-Pulau Klang. 

Beliau berkata bagi projek di Hutan Simpan Kekal Raja Lumu, perjanjian kerjasama telah dimeterai dengan rakan usaha sama, dengan kajian awalan tapak telah dijalankan pada Ogos lepas dan selesai pada September.

"Selain itu, Landasan Lumayan Sdn Bhd sedang melaksanakan kajian awal di Hutan Simpan Kekal Pulau-Pulau Klang untuk memberi tumpuan kepada penilaian dokumentasi dan laporan yang melibatkan analisis risiko terhadap potensi penebangan hutan dan jaminan kelestarian vegetasi di kawasan itu," katanya. 

-- BERNAMA 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan