WILAYAH - SARAWAK > BERITA

BERITA-BERITA RINGKAS DEWAN RAKYAT: 20 NOV

20/11/2024 02:23 PM

JPJ RANCANG WUJUD FUNGSI NOTIFIKASI TAMAT TEMPOH LKM DALAM APLIKASI MYJPJ

KUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) --  Kementerian Pengangkutan melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) merancang mewujudkan fungsi notifikasi pemakluman tarikh tamat tempoh Lesen Kenderaan Motor (LKM) dalam aplikasi MyJPJ.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata fungsi berkenaan akan dimaklumkan kepada umum apabila siap dibangunkan dan sedia untuk digunakan.

“MOT (Kementerian Pengangkutan) melalui JPJ telah merancang untuk melaksanakan penambahbaikan aplikasi MyJPJ secara berfasa dari semasa ke semasa tertakluk kepada keutamaan penambahbaikan dan kos perbelanjaan yang diperuntukkan,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini. 

Beliau menjawab soalan Mohd Hasnizan Harun (PN-Hulu Selangor) yang ingin tahu langkah mengingatkan pemilik kenderaan agar tidak terlupa memperbaharui LKM memandangkan cukai jalan digital tidak memerlukan pelekat dipamerkan pada kenderaan.

-- BERNAMA 

 

PRASEKOLAH DAN TADIKA SWASTA DISARAN DAFTAR DENGAN KPM, GUNA SUKATAN PELAJARAN SAMA 

KUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) -- Semua prasekolah dan tadika swasta disaran berdaftar dengan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi memastikan sukatan pelajaran selari dengan kurikulum disediakan kementerian. 

Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata penggunaan kurikulum aliran perdana itu kelak boleh membantu aspek pembelajaran murid yang bakal memasuki tahun satu.

“Bagi penyelarasan dari segi kurikulum tenaga pengajar atau kelayakan guru, Jabatan Kemajuan Masyarakat serta Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, kita adakan sesi libat urus supaya semua ini boleh dibawa ke dalam payung besar KPM,” katanya. 

Beliau menjawab soalan tambahan Salamiah Mohd Nor (PN-Temerloh) sama ada kerajaan bercadang meneruskan modul pratahfiz di sekolah rendah dan menengah bagi melahirkan pelajar cemerlang dari segi sahsiah dan akademik pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini. 

-- BERNAMA

 

LEBIH 17,000 TANGKAPAN PENAGIH DADAH DIREKODKAN DI KEDAH

KUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) -- Sebanyak 17,278 tangkapan direkodkan di Kedah melibatkan kes penyalahgunaan dadah dari Januari hingga Ogos tahun ini.  

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata jumlah tangkapan itu meningkat 17.3 peratus berbanding jumlah tangkapan keseluruhan pada 2023 iaitu 14,284 orang. 

“Jumlah klien yang menjalani rawatan dan pemulihan dalam institusi dan komuniti di bawah seliaan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam tempoh Januari hingga September tahun ini pula mencatatkan  5,960 orang,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) mengenai jumlah tangkapan kes penyalahgunaan dadah di Kedah. 

-- BERNAMA 

 

KPN, 250 NGO KERJASAMA LAKSANA PROGRAM PERPADUAN

KUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) -- Kementerian Perpaduan Negara (KPN) telah bekerjasama dengan 250 badan bukan kerajaan (NGO) bagi melaksanakan program berbentuk perpaduan di peringkat komuniti, daerah, negeri serta program utama kementerian itu. 

Timbalan Menteri berkenaan K. Saraswathy berkata antara program itu ialah Pameran Rumah Kami, Sambutan Bulan Kebangsaan, Jom Unite TikTok Challenge dan Karnival Sukan Rakyat. 

Beliau menjawab soalan Dr Halimah Ali (PN-Kapar) mengenai kriteria untuk menyertai inisiatif "Friends of Unity" dan berapa NGO yang terangkum dalam rangkaian kementerian pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini. 

-- BERNAMA 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan