WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KERAJAAN GUBAL AKTA MPC 2025, DIBENTANG DI PARLIMEN TAHUN DEPAN

20/11/2024 06:24 PM

KUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) – Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Produktiviti Malaysia (Akta MPC 2025) sedang digubal bagi menggantikan Akta Perbadanan Produktiviti Malaysia (Pemerbadanan) 1966 (Akta MPC 1966) sebelum dibentangkan di Parlimen tahun hadapan.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Liew Chin Tong berkata penggubalan akta itu bertujuan memperkenalkan kuasa pengawasan (oversight) melalui fungsi baru suruhanjaya seperti fungsi menjalankan siasatan (inquiry power) dan penyelidikan (research) serta menasihat (advice) kerajaan.

“Fungsi MPC baru ini juga memberikan kuasa untuk mengadakan perbicaraan (hearing) dan membentangkan penemuan (show) di Parlimen. Suruhanjaya juga dapat memastikan pelaksanaan yang berkesan melalui pemantauan dan penilaian,” kata beliau ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 peringkat jawatankuasa bagi kementerian itu di Dewan Rakyat, hari ini.

Mengulas mengenai Kepengerusian ASEAN 2025, Liew berkata ia adalah platform untuk Malaysia membuktikan kemampuan memimpin negara-negara anggota ASEAN ke arah penyepaduan ekonomi, memastikan keterangkuman dan memperkukuhkan kestabilan serta kerjasama serantau. 

“Bagi tujuan penganjuran Kepengerusian ASEAN pada 2025, MITI sebagai penyelaras tonggak ekonomi telah diluluskan peruntukan perbelanjaan mengurus sebanyak RM172 juta,” kata beliau.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai perincian Belanjawan 2025 untuk Kepengerusian ASEAN 2025, Liew berkata perbelanjaan perjalanan dan sara hidup, iaitu sebanyak RM10.61 juta, diikuti perhubungan dan utiliti, (RM3 juta), sewaan (RM92 juta), bekalan dan bahan lain (RM5 juta), dan perkhidmatan ikhtisas (RM60 juta).

Beliau turut berkata MITI telah mengambil kira peluang serta cabaran yang dihadapi oleh ASEAN pada masa kini dan akan datang adalah selari dengan memastikan kesan-kesan positif melalui Kepengerusian ASEAN 2025.

Mengenai isu yang dibangkitkan oleh Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) dan Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) berkenaan dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) yang menerima peruntukan awal sebanyak RM200 juta, beliau berkata daripada jumlah berkenaan, sebanyak RM68.5 juta adalah bagi pembangunan industry (NIDF) dan RM131.5 juta diletakkan di bawah Dana Pelaburan Bersama Strategik (CoSIF).

Liew berkata peruntukan itu bertujuan untuk membiayai projek-projek berimpak tinggi secara dana padanan bersama pasaran modal. 

Beliau turut berkata gabungan modal pendanaan awam dan swasta itu bertujuan meningkatkan jumlah modal, mengurangkan risiko pelaburan, dan meningkatkan daya tarikan projek untuk mendapatkan modal melalui pasaran ekuiti dan bon.

“Inisiatif baharu ini memanfaatkan kaedah pembiayaan alternatif untuk beralih daripada pendekatan konvensional melalui pemberian geran. 

“Saya ingin tekankan bahawa pemberian geran tidak memberi hasil yang kita inginkan, maka cara dan pendekatan NIMP 2030 dan CoSIF adalah konsep baharu. Sepanjang 2024, usaha telah difokuskan kepada kewujudan tatakelola dan tadbir urus selain mendapatkan kelulusan berkaitan bagi pentadbiran kedua dana tersebut,” jelas beliau.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan