WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MB KEDAH SOKONG GESAAN PM SINGKIR ISRAEL DARIPADA PBB

20/11/2024 10:02 PM

KUALA NERANG, 20 Nov (Bernama) -- Kerajaan negeri Kedah menyokong apa sahaja tindakan untuk memberi tekanan ke atas Israel termasuk gesaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya negara haram itu disingkirkan daripada keanggotaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata sememangnya kewujudan negara rejim Zionis itu tidak pernah diiktiraf Malaysia dan idea perdana menteri itu merupakan sesuatu yang baik.

"Dia (Israel) wujud secara haram, tidak patut dari awal pun dia menyertai PBB. Idea yang baik kalau boleh mesti dijayakan," katanya selepas Majlis Pecah Tanah Projek Kampung Tersusun Desa Sejahtera Kampung Perik di sini, hari ini.

Beliau berkata semua pihak tanpa mengira latar belakang seharusnya bersatu hati dalam usaha menyingkirkan Israel daripada PBB.

Perdana Menteri ketika menyampaikan kenyataan negara di Sidang Kemuncak Luar Biasa Negara Arab -Islam di Riyadh, Arab Saudi baru-baru ini menyeru masyarakat dunia untuk membina kesepakatan bagi menggantung atau menyingkirkan Israel daripada keanggotaan PBB.

Anwar dalam kenyataan itu mengulangi bahawa tindakan Israel telah melampaui batas kewarasan dan kemanusiaan dengan melakukan genosid terhadap rakyat Palestin.

Katanya keganasan rejim Zionis yang berterusan terhadap sebuah bangsa secara keseluruhan memaksa komuniti antarabangsa tiada pilihan selain menuntut tindakan pantas dan berkesan termasuk embargo, penggantungan bahkan pengusiran daripada PBB.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan