WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KONTRAKTOR CEMERLANG WAJAR DIBERI PROJEK SETERUSNYA - NANTA

21/11/2024 04:10 PM

PARIT, 21 Nov (Bernama) -- Kontraktor berprestasi cemerlang yang diberikan projek oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) wajar diberikan peluang untuk melaksanakan projek seterusnya.

Menteri berkenaan Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata ia sebagai menghargai kontraktor menyiapkan projek yang diberikan dengan sempurna dan berkualiti.

Beliau berkata pihaknya akan meminta Jabatan Kerjaya Raya untuk menyiapkan laporan prestasi kontraktor berkenaan supaya dimasukkan dalam senarai kontraktor berwibawa untuk dipertimbangkan bagi projek-projek yang lain.

"Ia (pemberian projek seterusnya) sebagai menghargai kontraktor-kontraktor yang cemerlang dalam melaksanakan projek-projek mereka tepat pada masa, selain kualiti projek dan nilai kos yang diberikan tidak berlebihan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program tanggungjawab sosial korporat bersama KKR, Jabatan Kerja Raya dan konsesi Jalan Persekutuan Bagi Kesiapsiagaan Monsun Timur Laut di Jalan FT005 Jalan Jelapang-Ipoh-Ayer Tawar di sini hari ini.

Mengulas mengenai program, Nanta berkata lokasi berkenaan dipilih disebabkan kawasan sekitar sering berlaku banjir kilat apabila hujan lebat luar biasa. 

"Selain daripada menampung air di permukaan jalan, longkang-longkang ini juga turut menampung air daripada pembangunan lama yang berada di kiri kanan jalan.

"Jadi, program CSR ini melibatkan aktiviti seperti membersih weep hole, membersih tepi bebendul jalan, mencuci longkang dan mengutip sampah sarap," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan