WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MUFTI INDIA TITIP PESANAN SABAR LAKSANA TUGAS MEMIMPIN NEGARA - PM ANWAR

22/11/2024 12:08 AM

PUTRAJAYA, 21 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyifatkan titipan pesanan Mufti Besar India Al-Allamah Sheikh Abu Bakar Ahmad al-Malibari supaya dirinya bersabar ketika berdepan dugaan sebagai pemangkin untuk melaksanakan tugasnya memimpin negara.

Berucap pada Majlis Khatam Sama' Hadith Sahih Al-Bukhari Peringkat Antarabangsa 2024 di sini hari ini, beliau berkata pesanan itu disampaikan Sheikh Abu Bakar secara peribadi kepadanya sewaktu pertemuan di Kompleks Seri Perdana di sini hari ini. 

“Sheikh mengingatkan kepada saya supaya istiqamah dan mengingatkan kepada saya ayat al-Quran tentang mengusahakan sesuatu dengan sabar.

“(Laksana tugasan) dengan penuh rahmah dan kasih sayang dan jangan rasa gusar sekiranya diugut, dihina, dicerca atau difitnah,” kata beliau.

Anwar berkata Sheikh Abu Bakar turut menitipkan supaya sentiasa berserah dan bertawakal kepada Allah selepas melaksanakan segala usaha dan ikhtiar dalam sesuatu perkara. 

Sementara itu, Anwar berkata Malaysia lantang dalam menyuarakan hasrat menyingkirkan Israel daripada keanggotaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di pentas dunia.

“Pada sidang APEC (Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik) berdepan dengan Presiden Amerika Syarikat Joe Biden, Presiden (China) Xi Jinping dan Presiden Perancis Emmanuel Macron, saya ulangi perkara itu dan juga dalam sidang G20.

“Bukan kerana kita negara besar, (tetapi) kerana kita negara MADANI … tertegak kerana keyakinan, nilai, menghormati nilai kemanusiaan, keadilan dan kebenaran maka kita suarakan,” katanya.

Lebih 10,000 jemaah hadir pada Majlis Khatam Sama’ Hadith Sahih Al-Bukhari termasuk penyertaan dari luar negara juga wakil-wakil kementerian, agensi, para pendakwah, ilmuwan serta pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta, madrasah dan institusi agama. 

Program itu dimulakan dengan sesi bacaan Yasin dan solat hajat selepas solat isyak, kemudian diserikan dengan syarahan perdana dan pengijazahan sahih Al-Bukhari oleh Sheikh Abu Bakar.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan