WILAYAH - TIMUR > BERITA

MTL: JPS KELANTAN PANTAU 82 STESEN HIDROLOGI, 42 SIREN AMARAN BANJIR

23/11/2024 09:29 AM

KOTA BHARU, 23 Nov (Bernama) -- Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan akan terus memantau 82 stesen hidrologi untuk mendapatkan data hujan dan aras air semasa sebagai persediaan menghadapi musim Monsun Timur Laut (MTL) tahun ini.

Pengarahnya Ir Dr Siti Fairus Zakaria berkata ia terdiri daripada 33 stesen aras air dan 49 stesen hujan di seluruh Kelantan yang kini dalam keadaan bersiap siaga dan dipantau secara terus melalui portal 'Public Infobanjir'.

"Mengikut pecahan bagi setiap jajahan pula sebanyak 14 stesen hujan terdapat di Gua Musang, tujuh stesen (Jeli), enam stesen (Kuala Krai), lima stesen (Pasir Puteh dan Pasir Mas), empat stesen (Tanah Merah), tiga stesen (Kota Bharu dan Bachok) manakala satu stesen masing-masing di Machang dan Tumpat.

"Bagi stesen aras air pula, terdapat tujuh di Kuala Krai, enam (Gua Musang), empat (Tanah Merah dan Jeli), tiga (Pasir Mas, Kota Bharu dan Pasir Puteh) manakala satu stesen masing-masing di Machang, Tumpat dan Bachok," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata terdapat 42 siren amaran banjir telah dipasang di kawasan 'hotspot' banjir supaya penduduk dapat berwaspada dengan situasi semasa dan bersedia berpindah ke pusat pemindahan sementara.

"Siren amaran banjir itu dipasang di 12 lokasi di jajahan Gua Musang, lapan lokasi di Kuala Krai, masing-masing lima lokasi di Tumpat dan Tanah Merah, empat lokasi di Pasir Mas, tiga lokasi di Jeli, masing-masing dua di Kota Bharu dan Machang serta satu lokasi di Pasir Puteh," katanya.

Beliau berkata pihaknya turut memasang 10 kamera litar tertutup (CCTV) untuk memantau kenaikan aras sungai semasa, selain 117 tolok lurus turut dipasang di tebing sungai dan kawasan 'hotspot' banjir.

"Kita juga menyediakan 23 pam bergerak pelbagai kapasiti, sembilan lori termasuk lima lori kren, 50 kenderaan utiliti sukan (SUV) dan pacuan empat roda sebagai persediaan menghadapi banjir di kawasan yang terjejas.

"Selain itu, terdapat enam projek saliran bagi menaik taraf dan mengatasi masalah banjir (kecemasan) di kawasan terlibat telah siap sepenuhnya dengan peruntukan berjumlah lebih RM21 juta," katanya.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan MTL bermula dari 5 Nov lepas hingga Mac 2025 dengan jangkaan lima hingga tujuh episod hujan lebat berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan