WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PROGRAM 2TM: RERUAI KPKT BERI MAKLUMAT KHIDMAT PINJAMAN WANG BERLESEN, RUMAH MAMPU MILIK

23/11/2024 10:54 AM

KUALA LUMPUR, 22 Nov (Bernama) -- Pemilikan rumah mampu milik dan khidmat pinjaman wang berlesen antara pertanyaan popular diutarakan pengunjung di reruai Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada Program Dua Tahun Kerajaan MADANI (2TM) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, bermula hari ini hingga Ahad.

Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Perancangan Strategik dan Antarabangsa KPKT Norafizah Ismail berkata orang ramai yang berkunjung ke reruai KPKT berminat mendapatkan maklumat lebih jelas berhubung perkara itu. 

"Menerusi kaunter perkhidmatan, kita memberi peluang kepada orang ramai yang hendak mengetahui kriteria memiliki rumah pertama dan kelayakan yang diperlukan untuk memohon rumah di bawah PR1MA serta Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).

"Ada pengunjung yang hanya mengetahui wujudnya pinjaman wang berlesen atau dikenali syarikat kredit komuniti selepas melihat promosi di reruai ini dan ia merupakan satu input baru kepada mereka," katanya ketika ditemui Bernama.

Menyentuh pencapaian KPKT selama dua tahun di bawah kerajaan MADANI, Norafizah berkata antaranya 2,634 tapak pelupusan sampah haram telah berjaya ditutup setakat Oktober lepas. 

Selain itu, beliau berkata kementerian berkenaan  mencatat kejayaan dalam pelaksanaan Program Pemerkasaan Ekonomi Bandar (PEKB) dengan  672 peserta daripada golongan B40 telah berjaya dilatih.

Beliau berkata program penyelenggaraan perumahan berstrata juga berjaya dilakukan di bawah kementerian itu melibatkan peruntukan lebih RM140 juta, dengan 376,911 pengguna mendapat manfaat daripada 350 projek yang bakal dilaksanakan dan 208 telah siap setakat Oktober lepas. 

Mengenai aspirasi pada tahun depan, beliau berkata kementerian itu bertekad memastikan sektor perumahan berkembang dan kekal mampu milik supaya setiap rakyat memiliki rumah idaman sendiri seiring dengan moto 'Rumahku, Syurgaku'.

"Aspirasi itu meliputi perumahan mampu milik, pindaan undang-undang melibatkan Akta Pembaharuan Semula Bandar dan khidmat sosial, pihak berkuasa tempatan berkaitan sistem (lampu isyarat dan antirasuah) termasuk sisa pepejal serta kesejahteraan komuniti," katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan