WILAYAH - TENGAH > BERITA

JONASSEN DIUMUM KETUA JURULATIH PERSEORANGAN NEGARA YANG BAHARU

23/11/2024 02:56 PM

KUALA LUMPUR, 23 Nov (Bernama) -- Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hari ini mengumumkan jurulatih berpengalaman dari Denmark Kenneth Jonassen, sebagai ketua jurulatih perseorangan negara yang baharu.

Perkembangan dinanti-nantikan itu diumumkan Pemangku Presiden BAM Datuk V. Subramaniam pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis BAM di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di sini.

Subramaniam berkata Jonassen yang menandatangani kontrak selama empat tahun, akan memulakan tugasnya secara rasmi bermula 4 Jan 2025.

Beliau berkata sebahagian daripada tugasnya, Jonassen akan bekerjasama rapat dengan Pengarah Kejurulatihan ABM Rexy Mainaky untuk merangka pelan pembangunan jangka panjang bagi program perseorangan Malaysia.

Jonassen mempunyai rekod prestasi yang terbukti antaranya selepas memainkan peranan penting dalam membentuk legasi badminton Denmark selama 13 tahun.

Sebelum ini, jurulatih berusia 50 tahun itu pernah berkhidmat sebagai ketua jurulatih England.

Bekas pemain nombor dua dunia itu pernah memenangi gelaran berprestij seperti Terbuka Jerman, Korea, Belanda dan Singapura, sepanjang kariernya.

Sementara itu, Subramaniam turut mengumumkan bekas Presiden BAM Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dilantik sebagai Presiden Kehormat Seumur Hidup badan induk itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan