KUALA LUMPUR, 23 Nov (Bernama) -- Kerajaan komited untuk memastikan pelaksanaan pembaharuan dasar ekonomi MADANI hanya memberi impak minimum atau tidak memberi dampak kepada rakyat secara umum, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan telah mengambil langkah untuk melaksanakan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), Dasar Gaji Progresif dan Dasar Gaji Minimum bagi membantu rakyat meningkatkan kualiti hidup dan membangunkan keupayaan mereka untuk menyesuaikan diri.
Menurut Anwar yang juga Menteri Kewangan, selain itu, sekiranya usaha pembaharuan seperti penyasaran subsidi tidak dilakukan, ia akan melemahkan ekonomi, kekuatan fiskal, penarafan dan pelaburan negara.
“Kita akui sejak zaman merdeka sehingga sekarang tidak pernah tidak ada inflasi. Walaupun mengalami kenaikan kecil, harga minyak, tepung, minyak mentah, kesemuanya masih rendah berbanding negara jiran,” kata beliau semasa sesi ‘town hall’ atau dialog awam Program Dua Tahun Kerajaan MADANI (2TM) dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2024 di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, jemaah menteri serta Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Anwar juga berharap semua pihak bersedia untuk meningkatkan keupayaan ekonomi dan fiskal bagi menjayakan Akta Tanggungjawab Fiskal negara.
Perdana Menteri yakin bahawa usaha kerajaan akan membuahkan hasil dengan kerjasama seluruh rakyat termasuk sektor swasta bagi memastikan dasar gaji kerajaan dapat dilaksanakan dan meningkatkan taraf hidup rakyat.
“Saya masih yakin setelah melihat prestasi kita dalam dua tahun ini dengan pasukan penjawat awam dan sektor swasta serta semangat generasi muda diberi latihan.
“Jika kita dapat teruskan dan tingkatkan lagi pengurusan sekarang, berilah ruang, kita akan melihat wajah negara di dalam negara dan seantero dunia serta Malaysia baharu akan dilihat gagah dan hebat,” kata Anwar.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial