WILAYAH - TENGAH > BERITA

GOOGLE, MICROSOFT PUJI USAHA MALAYSIA BINA INFRASTRUKTUR, PELAN HALA TUJU AI

23/11/2024 04:31 PM

KUALA LUMPUR, 23 Nov (Bernama) -- Google, memuji pendekatan Malaysia yang membina infrastruktur kecerdasan buatan (AI) di bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan gergasi teknologi global itu membuat pelaburan sebanyak US$2 bilion di negara ini.

Naib Presiden Hal Ehwal Kerajaan dan Dasar Awam Google Karan Bhatia dalam Sidang Kemuncak APEC di Peru baru-baru ini berkata pelaburan US$2 bilion bagi membina pusat data itu dilihat seiring dengan usaha Malaysia untuk membangunkan infrastruktur tersebut.

Terdahulu, pada Mei lepas, Google mengumumkan pelaburan sebanyak US$2 bilion (RM9.4 bilion) di Malaysia, bagi membangunkan pusat data pertamanya di negara ini dan rantau Google Cloud untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat perkhidmatan awan di negara ini dan di seluruh dunia, serta program literasi AI untuk pelajar dan pendidik.

Pelaburan Google itu dijangka menjana impak ekonomi bernilai lebih US$3.2 bilion dan 26,500 peluang pekerjaan menjelang 2030.

Sementara itu, Naib Presiden Data dan AI Microsoft Zia Mansoor memuji usaha Malaysia mewujudkan Pelan Hala Tuju Kecerdasan Buatan Negara yang komprehensif dan mengutamakan infrastruktur AI.

Pelan tersebut turut menyentuh kepada aspek kemahiran dan ini cara Malaysia memahirkan rakyat dengan teknologi AI, katanya dalam sidang kemuncak yang sama.

Beliau berkata pelan hala tuju itu turut mewujudkan pusat kecemerlangan AI dalam kerajaan, dan syarat ini penting apabila kerajaan turut menggunakan teknologi AI.

 Pada 15 Nov, Anwar mengadakan perbincangan dengan Google di ibu negara Peru, memfokuskan kepada pusat data dan AI.

Beliau berkata perhatian sewajarnya perlu diberikan kepada pengukuhan ekosistem AI dan pusat data, terutamanya dari segi peraturan yang berkaitan untuk mencegah kebocoran dan eksploitasi data serta berniat buruk. 

Anwar juga berkata Malaysia bersedia untuk menyelaraskan dasarnya agar seiring dengan permintaan baharu dan industri yang sentiasa berkembang dalam pendekatan pelbagai serampang untuk terus menarik pelaburan bernilai tinggi.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan