WILAYAH - SARAWAK > BERITA

WARGA EMAS MAUT DALAM KEMALANGAN LIBAT DUA KERETA

23/11/2024 06:55 PM

KOTA BHARU, 23 Nov (Bernama) -- Seorang wanita warga emas maut dalam kemalangan melibatkan dua kereta di KM46, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, semalam.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo berkata kejadian berlaku kira-kira 9 malam ketika Hasmah Abdullah, 81, menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Unser dipandu anak lelakinya berusia 49 tahun, yang turut dinaiki seorang lagi anak lelaki berusia 46 tahun.

"Berdasarkan siasatan awal, ketika sampai di tempat kejadian, kereta dinaiki mereka dari arah Kuala Krai menghala Gua Musang telah melanggar belakang kereta Proton Wira yang secara tiba-tiba memasuki jalan utama apabila berada di bahu kiri jalan.

"Akibat kemalangan itu, kereta Toyota Unser itu berpusing dan terbabas di bahu kiri jalan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata ketiga-tiga beranak itu dibawa ke Klinik Chiku 3, namun Hasmah yang merupakan penumpang hadapan kereta terbabit meninggal dunia ketika dirawat di klinik itu.

Pemandu Proton Wira yang juga seorang lelaki turut cedera.

Mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Gua Musang untuk bedah siasat manakala kemalangan itu sedang disiasat lanjut mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sik meminta saksi kejadian menghubungi talian 09-9121 222 atau pegawai penyiasat menerusi talian 013-3010408 untuk membantu siasatan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan