WILAYAH - SARAWAK > BERITA

DIALOG PERPADUAN MALAYSIA MADANI TINGKAT KEFAHAMAN MENGENAI KEPELBAGAIAN BANGSA, AGAMA - ZULKIFLI

23/11/2024 08:20 PM

JOHOR BAHRU, 23 Nov (Bernama) -- Dialog Perpaduan Malaysia MADANI meningkatkan lagi kefahaman mengenai kepelbagaian bangsa dan agama dalam memperkukuh perpaduan di negara ini, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan.

Beliau berkata program berkenaan yang dianjurkan bersama Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Johor, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Johor dan Persatuan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) negeri harus diberikan pujian.

“Ada wakil daripada pelbagai bangsa dan agama hadir dalam program ini dan kita dapat mendengar perspektif masing-masing untuk melihat Malaysia lebih bersatu padu. 

“Hal ini seiring dengan hasrat Malaysia MADANI yang diinspirasi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, kita menyahut seruan itu untuk membina kefahaman yang lebih baik ke arah Malaysia yang bersatu padu dan gemilang,” katanya pada sidang media selepas merasmikan program berkenaan di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah YADIM negeri Muhammad Ammar Abdullah dan Pengerusi WADAH negeri Baharum Ahmad.

Zulkifli berkata pihaknya menyambut baik inisiatif program berkenaan yang akan diperluas ke seluruh negara.

Sementara itu, Muhammad Ammar berkata program dengan tema “Masyarakat MADANI Tonggak Perpaduan” itu turut melibatkan ahli panel daripada pelbagai kaum.

“Program ini satu langkah penting untuk membuka ruang bagi kita semua berbincang dan berkongsi pandangan tentang bagaimana kita boleh memperkasakan nilai-nilai masyarakat MADANI.

“Kita perlu memahami bahawa perpaduan bukan hanya berkaitan toleransi, tetapi juga melibatkan kerjasama aktif, pengertian dan penghargaan terhadap perbezaan yang ada,” katanya.

Beliau pada masa sama berkata ikatan perpaduan yang dikecapi di negara ini akan menjadi landasan utama untuk mencapai kemajuan berterusan dengan kerjasama pemimpin dan masyarakat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan