WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PERAK BERPOTENSI BAIK SEBAGAI PENYUMBANG EKONOMI NEGARA - RAFIZI

25/11/2024 09:06 PM

IPOH, 25 Nov (Bernama) -- Perak mempunyai potensi baik berbanding negeri lain sebagai penyumbang ekonomi negara, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Beliau berkata perkara itu dapat dilihat menerusi beberapa rancangan yang telah disusun di peringkat Kerajaan Persekutuan dan rancangan kerajaan Perak.

Antara projek berimpak tinggi di Perak termasuk Bandar Perindustrian Ma­ritim Lumut (LuMIC), Perak Halal Industrial Park (Perak HIP), Silver Valley Technology Park (SVTP), Kerian Integrated Green Industrial Park (KIGIP) dan Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV).

“Dari segi perancangan pembangunan, nod-nod industri yang telah pun ditetapkan, satu di utara, satu di tengah, kemudian satu di selatan, kemudian sebelah barat. Ini ialah projek-projek berskala nasional yang berpotensi untuk membawa masuk kluster-kluster industri.

“Kemudian dari segi tenaga kerja, Perak ada asas yang cukup baik, sebab itu saya rasa kalau diberi tumpuan dan disambut juga dengan perancangan bersama kerajaan Perak dan Kerajaan Persekutuan untuk melengkapkan infrastruktur bagi menyokong nod-nod ini, sebenarnya Perak ada perancangan perindustrian yang menyeluruh dari utara sampai ke selatan, sampai ke barat,” katanya.

Rafizi berkata demikian pada sidang media selepas Sesi Libat Urus Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bersama Kerajaan Perak, di sini hari ini.

Beliau berkata dalam tempoh dua ke tiga tahun akan datang apabila lebih banyak projek berkenaan mula mencapai kemajuan fizikal, Perak mungkin bakal berada di tempat yang lebih baik daripada sekarang dari segi sumbangan kepada ekonomi negara.

“Kalau sekarang saya ingat dia penyumbang ketujuh terbesar kepada GDP Kebangsaan (Keluaran Dalam Negara Kasar), saya ingat Perak berpotensi untuk mengatasi beberapa negeri yang lain dengan perancangan sedia ada ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan