WILAYAH - SARAWAK > BERITA

NURQAYYUM AKHIRI KEMARAU 18 TAHUN MALAYSIA PADA KEJOHANAN TERJUN REMAJA DUNIA

26/11/2024 12:15 PM

KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Penerjun negara Nurqayyum Nazmi Mohamad Nazim menamatkan kemarau 18 tahun Malaysia menaiki podium pada Kejohanan Terjun Remaja Dunia 2024 selepas merangkul pingat gangsa dalam acara 3 meter papan anjal lelaki (16 hingga 18 tahun) semalam.

Menurut Akuatik Dunia, penerjun berusia 18 tahun itu menduduki tempat ketiga selepas mengumpul 506.75 mata pada pusingan akhir di Rio de Janeiro, Brazil.

Rakan senegara Yong Rui Jie hanya menduduki tempat ke-10 daripada 12 penerjun selepas mengutip 440.30 mata.

Yan Xin dari China membawa pulang emas selepas menampilkan aksi cemerlang dengan mengutip 546.60 mata, manakala Isak Borslien dari Norway memenangi perak (508.35 mata).

Kali terakhir Malaysia menaiki podium adalah pada edisi 2006 di lokasi sama apabila Elizabeth Jimie dan Bryan Nickson Lomas masing-masing memenangi emas serta gangsa.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan