WILAYAH - SARAWAK > BERITA

LEBIH 120,000 EKSPATRIAT BERADA DI MALAYSIA, SUMBANG 4.8 PERATUS DARIPADA KDNK

26/11/2024 01:10 PM

KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Sebanyak 120,183 pegawai ekspatriat berada di Malaysia setakat 31 Okt lepas, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata daripada jumlah itu, pegawai ekspatriat tertinggi adalah dari China, iaitu 27,460 orang, India (23,131), Filipina (9,302), Jepun (8,739) dan Indonesia (8,333).

"Lain-lain negara ialah 36 peratus daripada 120,183 (pegawai ekspatriat)," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) mengenai jumlah dan peratusan warga asing bertaraf nilai tinggi (ekspatriat) berhijrah ke Malaysia mengikut pecahan negara.

Saifuddin Nasution berkata berdasarkan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), keberadaan pegawai ekspatriat berkenaan memberikan impak ekonomi dengan menyumbang RM75 bilion menyamai 4.8 peratus daripada keseluruhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Beliau berkata Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) juga telah mengumpul hingga RM100 juta cukai pendapatan daripada kelompok itu.

Menurut Saifuddin Nasution, antara tarikan pegawai ekspatriat ke Malaysia adalah kerana kos sara hidup yang rendah bagi golongan itu, kestabilan politik serta potensi kerancakan ekonomi di negara ini.

Beliau berkata hal ini meletakkan Kuala Lumpur berada pada kedudukan kelapan daripada 49 bandar utama oleh Expat City Ranking 2023.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan