WILAYAH - SARAWAK > BERITA

627,491 AKAUN PENGGUNA TNB DIPOTONG, LIBATKAN TUNGGAKAN LEBIH RM1 BILION

26/11/2024 02:10 PM

KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Sebanyak 627,491 akaun pengguna Tenaga Nasional Berhad (TNB) terlibat dalam proses pemotongan bekalan elektrik dengan jumlah tunggakan RM1,008,771,447.78 setakat September lepas.

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata jumlah ini meningkat berbanding 464,076 akaun dengan tunggakan RM945,435,794.07 yang direkodkan tahun lepas.

Beliau berkata lima negeri merekodkan jumlah akaun dan tunggakan tertinggi sehingga September lepas iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Perak, Johor dan Terengganu.

“Antara kemungkinan penyebab kelewatan pembayaran adalah kekangan kewangan, sikap tidak bertanggungjawab, serta sikap sambil lewa dengan kebanyakan nama pengguna berdaftar bukan pemilik premis, dan juga sikap bayar TNB terakhir,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) mengenai jumlah kes pemotongan bekalan elektrik oleh TNB akibat kegagalan membayar bil selain jumlah tunggakan terlibat.

Akmal Nasrullah berkata secara keseluruhan, jumlah pengguna TNB adalah seramai 10.4 juta orang meliputi 8.5 juta pengguna domestik dan 1.9 juta pengguna bukan domestik.

Berdasarkan Akta Bekalan Elektrik 1990 dan Peraturan-Peraturan Bekalan Pemegang Lesen 1990, TNB boleh mengambil tindakan untuk mendapatkan semula jumlah tertunggak melalui peringatan, perbincangan dengan pengguna, dan sekiranya tiada penyelesaian, pemotongan bekalan elektrik terpaksa dilaksanakan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan