BERITA TERGEMPAR   Malaysia conveys deepest appreciation, welcomes flood aid from Pakistan in honour of friendship between both countries - PM Anwar | 
 WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PEMBANGUNAN TANAH KOMPLEKS SUKAN KELANTAN ALAMI KELEWATAN 45 HARI

27/11/2024 04:20 PM

KOTA BHARU, 27 Nov (Bernama) -- Pembangunan tanah bagi Kompleks Sukan Bukit Merbau di Selising, Pasir Puteh mengalami kelewatan selama 45 hari, dengan 70.9 peratus siap berbanding sasaran 79 peratus.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Kelantan Zamakhshari Muhamad berkata antara faktor utama kelewatan itu adalah disebabkan oleh kerja-kerja mengebom batu hampar yang sangat besar dan rumit serta di luar jangkaan asal.

“Pada masa sama, kerja-kerja pembangunan infrastruktur dan utiliti bagi kompleks ini sedang dilaksanakan.

“Satu aspek penting dalam projek ini adalah kerja-kerja pemasangan paip air utama yang telah dimulakan, dengan peratusan kemajuan kerja fizikal sebenar adalah 31 peratus dan sedang mengikut jadual yang ditetapkan," katanya.

Beliau berkata demikian bagi ketika menjawab soalan Norsyam Sulaiman (PAS-Semerak) berkaitan status terkini pembangunan Kompleks Sukan Bukit Merbau dalam sidang Dewan Undangan Negeri di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.

Zamakhshari berkata pada masa ini, kerja-kerja tanah di tapak sedang giat dilaksanakan dengan hampir keseluruhan tapak pembangunan venue sukan telah siap untuk diserahkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi tujuan pembinaan.

Beliau berkata venue utama itu termasuklah tapak stadium utama, kompleks skuasy dan gelanggang boling padang.

“Kontraktor untuk Stadium Utama telah memasuki tapak pada 1 Okt lepas, dan kerja-kerja awalan pembinaan seperti pejabat tapak kini sedang dilaksanakan.

“Kerja-kerja tanah bagi pembinaan jalan utama juga giat dilaksanakan dengan panjang keseluruhan 2.854 kilometer dan status kemajuan fizikal adalah 51 peratus siap,” katanya.

Sementara itu Zamakhshari berkata pembangunan arena tertutup, lapang sasar menembak dan kompleks hoki pula berada pada peringkat proses perolehan di JKR.

Beliau berkata perancangan itu telah diselaraskan bersama oleh kerajaan negeri dan JKR bagi memastikan semua venue Sukan Malaysia (SUKMA) Kelantan dapat disiapkan menjelang akhir tahun 2027.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan