BERITA TERGEMPAR   Malaysia conveys deepest appreciation, welcomes flood aid from Pakistan in honour of friendship between both countries - PM Anwar | 
 WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MRL DIMINTA PERIKSA KAWASAN BANJIR JIKA DISEBABKAN PEMBINAAN ECRL - LOKE

27/11/2024 07:53 PM

KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) -- Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) diminta segera memeriksa kawasan banjir khususnya di Pantai Timur sekiranya bencana itu disebabkan pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Beliau berkata perkara itu bagi membolehkan MRL melaksanakan tindakan mitigasi supaya dapat meringankan beban rakyat yang terkesan selain menyelesaikan isu banjir.

Loke berkata operasi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) turut terjejas apabila landasan keretapi di beberapa kawasan tidak boleh dilalui akibat banjir. 

"Jadi mana-mana kawasan yang dikatakan banjir sebab projek ECRL, saya akan minta pihak MRL untuk turun secepat mungkin melihat bagaimana untuk melaksanakan langkah mitigasi.

"Dari segi jajaran ia tidak boleh ubah kerana kalau semua jambatan dan jejambat di jajaran itu telah dibina macam mana nak robohkan, untuk pindahkan ke tempat lain pun tak boleh, memang mustahil tetapi kita ada mitigasi," katanya.

Beliau berkata demikian semasa sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pengangkutan (MOT) di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu, Loke turut merakamkan ucapan simpati kepada seluruh rakyat Pantai Timur terutama mereka yang terjejas akibat banjir besar yang berlaku ketika ini.

Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan tahap bahaya dijangka berlaku di seluruh Kelantan dan Terengganu serta daerah Kuantan dan Jerantut, Pahang hingga Jumaat ini.

Sementara itu, Loke berkata MOT telah mengadakan perbincangan bersama Kementerian Kewangan (MOF) untuk mendapatkan subsidi diesel bagi membantu operator feri di seluruh negara.

"Saya rasa ada berita baik akan disampaikan tidak lama lagi. Secara prinsip MOF tiada masalah tetapi saya perlukan surat daripada MOF dulu bahawa memberi subsidi kepada operator.

"Kita memang nak meyakinkan MOF kita nak rationalisasi subsidi tetapi beberapa operator ini mesti dibantu sebab ini adalah perkhidmatan wajib," katanya.

Dalam pemberian subsidi, Loke berkata kerajaan tidak bersikap pilih kasih dan semua operator akan menerima manfaatnya bukan hanya operator feri di Pulau Pinang.

Selain itu, beliau berkata langkah rasionalisasi subsidi juga dapat membantu operator feri bertahan dan pada masa sama melanjutkan operasi serta memastikan harga tiket tidak membebankan pengguna. 

Mengenai e-hailing motorsikal, Loke berkata perkara itu pernah dibincangkan sebelum ini namun tidak mendapat sambutan.

Beliau berkata MOT terbuka sekiranya ada permohonan daripada pihak operator namun ia perlu dijalankan secara pembuktian konsep (POC) terlebih dahulu.

"...tetapi saya nak bagilah pandangan dulu, budaya rakyat Malaysia tak begitu suka menggunakan e-hailing motosikal.

"Itu mungkin saya silap, mungkin saya salah, kalau ada bukti bahawa POC ni berjaya saya terbuka untuk pandangan ini dan kita harap ia dapat meringankan lagi beban untuk first mile dan last mile," katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan