WILAYAH - SARAWAK > BERITA

IMPLIKASI PENUMPANG KENDERAAN PERSENDIRIAN TURUT DILINDUNGI INSURANS KENDERAAN DIKAJI - LOKE

28/11/2024 03:46 PM

KUALA LUMPUR, 28 Nov (Bernama) -- Kementerian Pengangkutan akan meneliti implikasi mewajibkan penumpang kereta persendirian turut dilindungi oleh insurans kenderaan, kerana ia boleh memberi kesan ketara kepada kos insurans bagi pemilik kenderaan berkenaan.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata kajian menyeluruh juga perlu bagi menilai kesannya terhadap undang-undang sedia ada.

“Kita akan minta Bahagian Darat Kementerian Pengangkutan untuk melihat dengan lebih lanjut dan ia sudah tentu memberi kesan yang besar kepada kos insurans, jadi ini perlu diteliti sebelum apa-apa keputusan dasar dibuat.

"Saya yakin bahawa kalau kita buat sesuatu, dia kena pastikan ada keseimbangan dan dalam perkara ini, yang penting adalah keputusan mahkamah itu kita kena lihat, sama ada dia ada obligasi pindaan kepada akta kita," katanya kepada pemberita ketika ditemui di persidangan Asian Maritime Law and Business Conference yang bermula hari ini. 

Beliau berkata demikian sebagai mengulas keputusan Mahkamah Persekutuan baru-baru ini yang menetapkan bahawa penumpang kenderaan untuk tujuan kerja boleh mendapatkan pampasan daripada syarikat insurans kenderaan untuk kecederaan yang dialami jika terlibat dalam kemalangan.

Menurut sebuah portal berita, keputusan mahkamah telah mencetuskan semula perbincangan sama ada Malaysia perlu mewajibkan perlindungan insurans untuk penumpang dalam kenderaan persendirian bagi memastikan mereka turut mendapat pampasan sekiranya berlaku kemalangan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan