WILAYAH - SARAWAK > BERITA

WARGA EMAS NEW ZEALAND RUGI RM216,000 TERPEDAYA PELABURAN TIDAK WUJUD

29/11/2024 04:47 PM

JOHOR BAHRU, 29 Nov (Bernama) -- Seorang lelaki warga New Zealand kerugian sebanyak RM216,000 selepas terpedaya dengan skim pelaburan tidak wujud bulan lepas.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, ACP Balveer Singh Mahindar Singh, berkata pihaknya menerima laporan polis daripada seorang warga emas berusia 61 tahun semalam mendakwa mangsa telah dihubungi oleh seorang lelaki pada pukul 3.43 petang, 2 Okt lalu, yang memperkenalkan laman sesawang https://m.worldcoinkk.com untuk menyertai pelaburan.

“Mangsa telah diberi penjelasan mengenai syarat-syarat pelaburan dan dijanjikan keuntungan sebanyak tiga hingga lima peratus sebulan daripada nilai yang dilaburkan.

“Mangsa yang tertarik dengan keuntungan yang dijanjikan itu telah bersetuju membuat transaksi secara dalam talian ke satu akaun Hong Leong bank atas nama SPB International Sdn Bhd,” katanya.

Beliau berkata bermula dari 3 Okt hingga 25 Okt, mangsa telah membuat transaksi sebanyak 27 kali berjumlah RM216,000 untuk pelaburan yang dicadangkan suspek.

Menurutnya selepas mangsa diminta untuk membuat pembayaran lagi, mangsa tidak melakukannya kerana sedar telah ditipu oleh suspek.

Beliau berkata mangsa kemudian terus membuat laporan polis dan sehingga laporan dibuat, mangsa tidak menerima sebarang keuntungan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu tipu di mana jika sabit kesalahan boleh di hukum penjara maksimum 10 tahun dan boleh disebat dan didenda. 

“Siasatan juga meliputi penglibatan keldai akaun, jika ada, dan tindakan akan diambil terhadap pemilik akaun tersebut,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar lebih cakna dengan tren semasa jenayah komersial bagi mengelakkan diri dari menjadi mangsa penipuan selain tidak mudah mempercayai sebarang pelaburan atau pekerjaan yang menjanjikan komisen yang tinggi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan