KUALA LUMPUR, 29 Nov (Bernama) -- Angkatan Tentera Malaysia melalui Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) 850-12 melaksanakan Program Jiwa Murni atau Kerjasama Awam-Tentera (CIMIC) dengan menyalurkan sumbangan kepada penduduk setempat di Hospital Tibnine, Lubnan bagi menghadapi musim sejuk.
Markas Angkatan Tentera Malaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan sumbangan itu diserahkan kepada wakil Pengarah Hospital Tebnine iaitu Hasan Abbas oleh Komander MALBATT 850-12 Kolonel Johan Effendi Mohd Shalleh pada Selasa lepas.
Kenyataan itu memaklumkan sumbangan tersebut adalah sebahagian daripada usaha membantu masyarakat setempat menghadapi cabaran musim sejuk dan antara barangan yang diberikan ialah ubat-ubatan, peralatan hospital, mainan dan bahan bacaan kanak-kanak sumbangan badan bukan kerajaan dari Malaysia.
“Inisiatif ini bertujuan meringankan beban masyarakat tempatan dan menyokong misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) dalam mempromosikan keamanan dan kesejahteraan.
“Kejayaan program ini menjadi langkah awal yang signifikan dalam membina kepercayaan dan hubungan erat antara pasukan pengaman dan masyarakat tempatan,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan sama turut memaklumkan program CIMIC adalah aktiviti pertama yang dilaksanakan oleh MALBATT 850-12 sejak mengambil alih tugas operasi pada 16 Nov lepas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial