KUALA LUMPUR, 29 Nov (Bernama) -- Negeri Sembilan FC mara ke saingan suku akhir Piala Malaysia 2024/2025 dengan menyingkirkan PDRM FC menerusi keputusan agregat 4-2, selepas melakar kemenangan 3-0 pada perlawanan kedua pusingan 16 malam ini.
Pada aksi berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS) di sini, pasukan kendalian K. Nanthakumar itu turun dengan semangat baru setelah tewas tipis 1-2 di tangan skuad ‘Sang Saka Biru’ pada aksi pertama tempoh hari.
Kedua-dua pasukan tampil berhati-hati seawal wisel mula ditiupkan namun jaringan sendiri terhasil oleh pemain pertahanan PDRM, Ezrul Ashraf pada minit kelapan sekali gus menyaksikan Negeri Sembilan menyamakan kedudukan dari segi agregat.
Bersambung babak kedua, Negeri Sembilan menambah jaringan kedua pasukan menerusi Hadin Azman pada minit ke-53 yang merembat kencang bola masuk ke gawang PDRM.
Gerakan lincah A. Selvan memastikan skuad ‘Hobin Jang Hobin’ meraih gol ketiga pada minit ke-81 sekali gus menamatkan perjalanan PDRM pada saingan Piala Malaysia.
Dalam pada itu, Terengganu FC turut berhasil menempah pertemuan ke suku akhir apabila menewaskan Melaka FC menerusi keputusan agregat 4-1, selepas kedua-dua pasukan terikat seri 0-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial