BUKIT MERTAJAM, 30 Nov (Bernama) -- Sebanyak RM2 juta telah diperuntukkan oleh Kerajaan Persekutuan kepada Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) bagi melaksanakan projek dan program di Kampung Baru Alma, di sini.
Menterinya Steven Sim Chee Keong berkata peruntukan itu adalah sempena program Kampung Angkat Madani peringkat Kesuma.
“Kesuma telah diberikan tanggungjawab untuk menjaga Kampung Baru Alma ini sebagai Kampung Angkat, yang mana program Kampung Angkat ini diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Peruntukkan untuk tahun ini ialah lebih kurang RM2 juta dan lebih kurang separuh telah digunakan bagi projek penambahbaikan jalan dan longkang, pintu gerbang utama serta sumbangan penghawa dingin ke masjid dan surau,” katanya selepas Majlis Pelancaran Kampung Angkat MADANI Kesuma Kampung Baru Alma, di sini hari ini.
Sim berkata peruntukan selebihnya, disalurkan bagi menjalankan projek penambahbaikan saliran parit dan juga pengindahan di tiga buah kampung berdekatan di kawasan Bukit Mertajam.
Beliau berkata Kesuma juga telah mempersiapkan sukarelawan Wira Kesuma, untuk turun memberikan bantuan kemanusiaan di kawasan yang mengalami banjir khususnya di Pantai Timur.
Sim berkata terdapat 10,000 orang sukarelawan ini di seluruh negara dan mereka telah diberikan kursus keselamatan oleh Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) bagi melengkapkan persediaan mereka.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial