KUALA LUMPUR, 30 Nov (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sedia menghantar petugas tambahan bagi membantu menguruskan keperluan mangsa banjir di sembilan negeri terkesan ketika ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata ia bergantung kepada keperluan semasa dan permohonan daripada kerajaan negeri yang terlibat.
“Kita (KPWKM) memang dari hari ke hari sentiasa memerhati (situasi banjir), takut ada lagi (negeri) yang memerlukan penambahan bilangan petugas,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Resepsi Mahligai Cinta Perdana di sini hari ini.
Setakat pagi tadi, mangsa banjir di kesemua sembilan negeri mencecah lebih 120,000 orang dengan Kelantan mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu sebanyak 80,640 orang, diikuti Terengganu (35,124), Kedah (7,911), Negeri Sembilan (2,174), Perlis (520), Selangor (473), Johor (425), Melaka (229) dan Perak (20).
Nancy berkata semalam, petugas tambahan dari KPWKM telah dihantar ke Kelantan.
“Kita ambil (petugas) dari negeri lain yang tidak begitu terancam banjir pada masa ini, dan mungkin kita tambah lagi juga untuk Terengganu dan negeri-negeri lain berdasarkan situasi,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial