KUCHING, 30 Nov (Bernama) -- Perincian mengenai pembangunan infrastruktur di sepanjang sempadan Malaysia melibatkan Sarawak dan Sabah dengan wilayah Kalimantan, Indonesia akan menjadi antara agenda mesyuarat Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof bersama agensi pelaksana kedua-dua negeri itu, Disember ini.
Fadillah berkata setakat ini beliau belum lagi mendapat perkembangan terbaharu berhubung projek itu dan mesyuarat berkenaan dijangka membincangkan kemajuan pelaksanaannya.
“Mesyuarat ini bertujuan untuk menilai status projek-projek yang sedang berjalan serta memastikan pelaksanaannya berjalan lancar. Mesyuarat ini juga memberi fokus kepada sebarang isu atau cabaran yang dihadapi, termasuk projek yang menghadapi masalah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Sesi Town Hall 2024 anjuran Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching bersama Pusat Khidmat Parlimen Petra Jaya di sini, hari ini.
Pada Ogos lepas, Fadillah dilaporkan berkata peruntukan RM1 bilion oleh kerajaan Persekutuan untuk menaik taraf kemudahan di sempadan Sarawak dan Sabah dengan Indonesia masih belum dimanfaatkan sepenuhnya oleh kementerian dan agensi terlibat.
Dalam pada itu, Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya turut mengutarakan kebimbangannya mengenai masalah judi dalam talian dan mahu Majlis Perbandaran Padawan (MPP) dan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) di kawasan Parlimen itu untuk bersama-sama menangani isu tersebut.
Beliau berkata pihak terbabit perlu memastikan pematuhan peraturan dan meningkatkan kawalan terhadap aktiviti yang dijalankan oleh pemegang lesen sekali gus mengurangkan penyalahgunaan di kawasan tersebut.
“Menangani judi dalam talian bukan perkara mudah kerana ada kedai makan yang turut terlibat. Oleh itu, kerjasama erat antara polis, majlis perbandaran dan dewan bandar raya diperlukan.
“Tindakan seperti pemotongan elektrik dan pembatalan lesen hanya boleh diambil setelah kegiatan tersebut disahkan oleh polis,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial