KUALA BERANG, 30 Nov (Bernama) -- Pihak berkaitan telah diarahkan untuk mempergiat lagi aktiviti memantau kawasan berisiko di lereng bukit atau cerun, bagi mengelak kejadian tanah runtuh sepanjang musim Monsun Timur Laut (MTL), kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata ia juga bagi memastikan kejadian tanah runtuh seperti yang berlaku di Kampung Bukit Apit, Ajil, dekat sini, yang mengorbankan dua beradik, petang semalam, tidak berulang, selain runtuhan susulan di lokasi sama tidak berlaku.
“Isu berkaitan tanah runtuh ini di bawah Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG), jadi, kita akan menghantar pasukan daripada jabatan itu untuk ke lokasi (tanah runtuh).
“Ia kerana kita ingin melihat jika masih ada laluan air bawah tanah yang dikhuatiri menyebabkan berlaku runtuhan selanjutnya,” katanya kepada pemberita selepas menziarahi keluarga mangsa tragedi runtuhan tanah Kampung Bukit Apit dan meninjau lokasi runtuhan bersama beberapa agensi dan jabatan kerajaan, di sini, hari ini.
Pada lawatan itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat turut menyampaikan sumbangan kepada ibu mangsa Ruziah Fuad, 46, yang kini menetap di rumah sewa baharu disediakan kerajaan negeri di kawasan berhampiran.
Dalam kejadian tanah runtuh pada 4.30 petang semalam, mangsa pertama Uzair Azman, 17, ditemukan selamat di bawah runtuhan dinding konkrit di ruang tamu rumah, manakala mayat dua adiknya Puteri Sajidah, 16, dan Siti Fatimah, 13, ditemukan dalam keadaan tertimbus di bawah runtuhan.
Ahmad Zahid turut menasihati orang ramai terutama mereka yang tinggal di kawasan cerun dan lereng bukit serta gunung, supaya lebih berhati-hati sepanjang musim MTL yang dijangka berlarutan sehingga Mac tahun hadapan.
Beliau turut mengingatkan semua pihak untuk bersiap siaga berikutan fenomena MTL kali ini dijangka lebih teruk berbanding 2014 dan dijangka berlaku tidak hanya di negeri-negeri di Pantai Timur, malah di negeri lain.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial