WILAYAH - SARAWAK > BERITA

BRAZIL, MALAYSIA WUJUDKAN PEMBANGUNAN BERSAMA REKA BENTUK LITAR BERSEPADU PADA 2025

01/12/2024 01:43 PM

Oleh Rohani Mohd Ibrahim

KUALA LUMPUR, 1 Dis (Bernama) -- Kerjasama Brazil dan Malaysia dalam industri semikonduktor akan melibatkan pembangunan inisiatif bersama dalam reka bentuk litar bersepadu (IC) tahun depan, menurut sumber dari Kedutaan Brazil di Malaysia.

Kalangan sumber itu optimis mengenai potensi kerjasama dan pertumbuhan tersebut susulan mesyuarat industri semikonduktor Malaysia-Brazil baru-baru ini di Rio de Janeiro dengan kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai sebahagian daripada rangka lawatan rasmi beliau ke Brazil.

Pada masa ini, Malaysia ialah pengeksport semikonduktor keenam terbesar dunia, dengan nilai eksport melebihi US$85 bilion (US$1 = RM4.44), manakala nilai eksport semikonduktor Brazil hanya pada US$1.2 bilion setakat 2022.

Bagaimanapun, negara terbesar di Amerika Selatan itu memiliki kelebihan kompetitif dari segi reka bentuk IC.

“Bidang reka bentuk IC sememangnya menjadi tumpuan kami, dan telah ada jalinan awal antara pihak berkepentingan dari kedua-dua negara untuk membangunkan inisiatif bersama,” kata satu daripada sumber itu kepada Bernama ketika dihubungi.

Semasa lawatan rasmi Anwar, satu Memorandum Persefahaman (MoU) telah ditandatangani antara Mimos Bhd dan Institut Eldorado Brazil, serta satu lagi MoU antara Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia, Persatuan Industri Elektrik dan Elektronik Brazil, dan Persatuan Industri Semikonduktor Brazil.

Sumber berkata inisiatif kukuh itu mungkin termasuk usaha sama antara syarikat Brazil dan Malaysia, yang akan membuka peluang pelaburan bersama; projek penyelidikan dan pembangunan bersama antara institusi seperti MIMOS dan Eldorado; serta inisiatif yang bertujuan pembangunan bakat di kedua-dua negara.

Walaupun tiada butiran khusus telah dimuktamadkan namun, sumber berkata perbincangan penting sedang dijalankan untuk merealisasikan MoU yang telah ditandatangani.

Perbincangan mengenai kerjasama Brazil-Malaysia bermula pada 2023, selepas acara “Brazil-ASEAN and Semiconductors: Unveiling Global South Synergies” anjuran kedutaan itu pada Oktober 2023.

Acara itu menandakan permulaan dialog antara pihak berkepentingan dari kedua-dua negara.

Organisasi Malaysia dan Brazil saling berhubung secara aktif sepanjang tahun lepas, dan MoU yang ditandatangani semasa lawatan Anwar ke Brazil menandakan satu pencapaian penting dalam mengukuhkan hubungan antara kedua-dua negara.

“Seiring dengan perkembangan kerjasama ini, pembinaan kepercayaan tetap penting untuk mengenal pasti bidang kerjasama yang lebih khusus,” kata sumber itu.

Ekosistem semikonduktor Malaysia meliputi syarikat utama global seperti Intel, Infineon, Micron, dan Texas Instruments, serta peneraju tempatan seperti Carsem dan Inari.

Lawatan rasmi Anwar terdiri daripada dua komponen utama iaitu pertemuan dua hala dengan Presiden Brazil Luiz Inacio Lula Da Silva, pada 17 Nov, 2024 serta penyertaan dalam Sidang Kemuncak G20 pada 18 dan 19 Nov, 2024, dengan Brazil selaku presiden bagi forum antara kerajaan itu.

Lawatan sulung perdana menteri ke Brazil telah menjana potensi eksport bernilai RM6.8 bilion dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, menyatakan kejayaan itu adalah hasil daripada perbincangan bersama 58 pemimpin industri yang mewakili 28 syarikat terkemuka dan persatuan perniagaan di Brazil.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan