KUALA LUMPUR, 1 Dis (Bernama) -- Timbalan Menteri Luar Negeri Datuk Mohamad Alamin akan mewakili Malaysia dalam Persidangan Kaherah Peringkat Menteri untuk Mempertingkatkan Respons Kemanusiaan di Gaza “Setahun Selepas Bencana Kemanusiaan di Gaza: Keperluan Yang Mendesak, Penyelesaian Berkekalan”, yang dijadual berlangsung pada 2 Dis di Kaherah, Mesir.
Kementerian Luar Negeri dalam satu kenyataan pada Sabtu memaklumkan bahawa persidangan itu dianjurkan secara bersama oleh Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi dan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres.
Ia akan menghimpunkan negara-negara anggota PBB, wakil-wakil agensi di bawah naungan PBB, organisasi serantau dan antarabangsa serta pertubuhan bukan kerajaan dan masyarakat sivil bagi menangani krisis kemanusiaan di Gaza akibat operasi ketenteraan rejim Zionis Israel yang berterusan.
"Timbalan Menteri Luar Negeri akan menzahirkan kenyataan Malaysia dengan penekanan ke atas keperluan mendesak untuk tindakan global yang tegas, tumpuan kepada akses bantuan kemanusiaan, gesaan gencatan senjata yang segera dan kekal serta sokongan usaha damai yang mengiktiraf Palestin sebagai sebuah Negara berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya.
"Pada masa yang sama, beliau juga akan menzahirkan sokongan dan sumbangan berterusan Malaysia terhadap perjuangan Palestin," menurut kenyataan itu.
Kementerian menegaskan bahawa penyertaan Malaysia ke persidangan terbabit menegaskan komitmen negara yang teguh terhadap perjuangan Palestin dan usaha Malaysia untuk bekerjasama dengan negara-negara yang sehaluan dalam memperjuangkan keamanan yang berpanjangan di Timur Tengah yang seterusnya melangkaui rantau itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial