KUALA LUMPUR, 1 Dis (Bernama) -- Kerajaan komited untuk mengkaji jenis bantuan yang bersesuaian bagi meringankan beban petani yang terkesan akibat banjir termasuk pemberian bantuan kewangan dan sokongan pemulihan pascabanjir.
Pejabat Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan dalam kenyataan menerusi laman Facebook Datuk Seri Mohamad Sabu memaklumkan kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan terus memantau keadaan banjir dengan rapi.
Selain itu, KPKM akan bekerjasama dengan agensi berkaitan untuk memastikan bantuan dapat disalurkan dengan cepat dan berkesan kepada golongan sasar KPKM yang memerlukan.
Menurut hantaran itu, Mohamad mengadakan lawatan ke Kelantan hari ini bagi meninjau situasi semasa banjir dan menilai kesan banjir terhadap sektor pertanian yang terjejas.
"Nilai keseluruhan kerugian sektor pertanian Kelantan akibat banjir kali ini dianggarkan melebihi RM16 juta," katanya.
Menurut kenyataan itu, sebanyak 4,872 hektar kawasan pertanian dilaporkan telah terjejas yang melibatkan 2,156 pesawah, petani dan pengusaha makanan, manakala 661 petugas KPKM Inc. Kelantan turut menjadi mangsa banjir kali ini.
Mohamad turut meninjau kawasan sawah di Pasir Mas melibatkan sejumlah 211 hektar, yang beberapa hari lagi akan dituai telah tenggelam sepenuhnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial